Banjir Sumatera Barat: 22 maut, 7 cedera, 2 hilang

Banjir Sumatera Barat: 22 maut, 7 cedera, 2 hilang

Badan Nasional Pengurusan Bencana berkata 90 bangunan termasuk rumah ditenggelami air di Nagari Bukik Batabuah, Canduang.

Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia mengeluarkan amaran waspada dengan keadaan cuaca ekstrem iaitu hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di beberapa kawasan hari ini. (Gambar AP)
JAKARTA:
Banjir melanda daerah Agam, Padang dan Tanah Datar di Sumatera Barat pada Sabtu malam meragut 22 nyawa, mencederakan tujuh orang dan menyebabkan dua individu hilang.

Di Agam, bencana itu menyebabkan 15 kematian, dengan 11 mangsa di mukim Canduang dan empat di mukim Sungai Pua, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Jurucakap BNPB, Abdul Muhairi, berkata 90 bangunan termasuk rumah ditenggelami air di Nagari Bukik Batabuah, Canduang dan 60 penduduk dipindahkan ke sebuah pusat perlindungan di Nagari Koto Tuo, Koto.

“Operasi menyelamat masih diteruskan di mukim terjejas termasuk Canduang, Sungai Pua dan Koto susulan hujan lebat pada 9 malam waktu tempatan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Di daerah Tanah Datar, beliau berkata tujuh orang terkorban dan sedang menjalani proses pengecaman di sebuah hospital tempatan berikutan banjir pada Sabtu, yang menjejaskan 25 keluarga, 24 rumah dan 12 jambatan.

Muhairi berkata, seorang mangsa ditemukan selamat, manakala dua lagi masih hilang selepas banjir melanda bandar Padang akibat hujan lebat sehingga menyebabkan air Sungai Lubuk Mata Kucing melimpah pada 10 malam waktu tempatan.

Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia mengeluarkan amaran waspada dengan keadaan cuaca ekstrem iaitu hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di beberapa kawasan hari ini.

Kawasan itu termasuk Sumatera Barat, Aceh, Sumatera Utara, Riau, Kepulauan Riau, Bengkulu, Jambi, Sumatera Selatan, Kepulauan Bangka Belitung, Lampung, Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.