Undian resolusi iktiraf Palestin negara anggota PBB esok

Undian resolusi iktiraf Palestin negara anggota PBB esok

Resolusi itu perlu mendapat dua pertiga undi di perhimpunan agung untuk diluluskan.

Perhimpunan Agung PBB
Undian resolusi itu akan berlangsung semasa Perhimpunan Agung PBB yang dianggotai 193 negara kira-kira 10 pagi waktu New York. (Gambar Bernama)
NEW YORK:
Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) dijangka mengundi pada Jumaat berhubung resolusi menuntut pengiktirafan Palestin sebagai negara anggota penuh badan dunia itu, lapor Agensi Berita Palestin Wafa.

Undian resolusi itu akan berlangsung semasa UNGA yang dianggotai 193 negara kira-kira 10 pagi waktu New York.

Ia juga bertindak sebagai tinjauan global bagi menyokong permohonan keanggotaan penuh Palestin dalam organisasi antarabangsa tersebut.

Pembantu Menteri Luar Palestin untuk PBB dan agensinya, Omar Awadallah memaklumkan Palestin memenuhi syarat untuk penerimaan keahlian yang dinyatakan dalam Artikel 4 Piagam PBB.

Resolusi itu perlu mendapat dua pertiga undi di perhimpunan agung untuk diluluskan.

Awadallah menjelaskan pengiktirafan UNGA terhadap Palestin sebagai negara anggota penuh antara lain membolehkan ia duduk bersama negara anggota lain mengikut abjad, bersuara mengenai sebarang agenda di PBB dan mengemukakan resolusi atas namanya.

Beliau juga mengesahkan hak Palestin menjadi negara anggota penuh dan menentukan nasib sendiri, sambil menyatakan 144 negara mengiktiraf Palestin dan ia memenuhi semua kewajiban serta tanggungjawab dalam institusi PBB yang diperlukan untuk keanggotaan penuh.

Ketika ini, Palestin berstatus negara pemerhati tetap yang diberikan UNGA pada 2012.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.