Protes pro-Palestin berterusan, Columbia University batal konvokesyen

Protes pro-Palestin berterusan, Columbia University batal konvokesyen

Pihak universiti berkata ia tidak akan mengadakan majlis konvokesyen utama pada 15 Mei ini.

Protes pelajar universiti di AS terhadap serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza tercetus pada 18 April lalu sebelum merebak ke universiti di beberapa negara lain. (Gambar AP)
NEW YORK:
Columbia University di New York yang menyaksikan demonstrasi mengutuk serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza dan bersolidariti dengan Palestin, mengumumkan pada Isnin pembatalan majlis konvokesyennya minggu depan.

Pihak universiti itu berkata ia ‘tidak akan mengadakan majlis konvokesyen utama yang dijadualkan pada 15 Mei’ dan sebaliknya akan menganjurkan beberapa siri kecil majlis itu, lapor agensi berita Palestin (WAFA).

Pergerakan pelajar itu tercetus di Amerika Syarikat (AS) pada 18 April, apabila pelajar melakukan mogok duduk sebagai tanda protes kepada serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza di kampus Columbia University di sini, dan menuntut supaya pentadbiran universiti menghentikan kerjasama dengan universiti Israel dan menarik balik pelaburannya dalam syarikat yang menyokong pendudukan rejim Zionis.

Pelajar di universiti-universiti AS sedang berusaha meningkatkan tekanan kepada pentadbirannya supaya menarik pelaburan daripada negara yang menduduki dan syarikat yang menyokongnya serta memboikot universiti Israel yang terlibat dalam genosid penduduk Palestin.

Pergerakan pelajar untuk menyokong Palestin yang tidak pernah berlaku sebelum ini di AS juga merebak ke universiti-universiti di Perancis, United Kingdom, Jerman, Kanada, Switzerland, India dan Australia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.