Lebih 9,000 penduduk dipindah selepas Gunung Ruang meletus lagi

Lebih 9,000 penduduk dipindah selepas Gunung Ruang meletus lagi

Seramai 3,364 penduduk telah dipindahkan, manakala 5,719 lagi sedang dipindahkan secara berperingkat, menurut badan pengurusan bencana.

Susulan letusan terbaru Gunung Ruang, kerajaan Indonesia sedang berusaha memindahkan penduduk berdekatan ke lima penempatan sementara. (Gambar AP)
JAKARTA:
Kerajaan Indonesia memindahkan 9,083 penduduk dari Pulau Tagulandang dekat Gunung Ruang di Sulawesi Utara ke tempat yang lebih selamat.

Ketua Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia Lt Jen Suharyanto berkata, seramai 3,364 penduduk telah dipindahkan, manakala 5,719 lagi sedang dipindahkan secara berperingkat.

“Pemindahan ini berlaku secara berperingkat dari 30 April hingga 2 Mei dan dijangka selesai dalam tiga hari,” kata Suharyanto hari ini.

Pulau Tagulandang terletak berhampiran Pulau Ruang di mana Gunung Ruang berdiri sendiri sebagai sebuah pulau terpisah dalam Daerah Sitaro.

Suharyanto berkata, penduduk dipindahkan dengan kapal yang disediakan oleh agensi kerajaan dan swasta termasuk tentera, kastam dan agensi penyelamat.

Kira-kira lima penempatan sementara telah didirikan di pulau-pulau berhampiran seperti Manado dan Siau, katanya.

Usaha pemindahan penduduk Pulau Tagulandang berikutan nasihat daripada Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana (PVMBG) Indonesia sebagai tindak balas selepas mengenal pasti satu zon berisiko dalam radius 7km kawah Gunung Ruang.

Ketua pusat itu, Hendra Gunawan berkata, strato-gunung berapi dari segi sejarahnya mengeluarkan awan panas dan melalui beberapa letusan yang memberi kesan langsung kepada manusia dan kehidupan.

Rekod menunjukkan letusan Gunung Ruang, yang berketinggian 725m itu, pada 1808 dan kejadian yang ketara berlaku pada 1871 yang mencetuskan gelombang tsunami yang mengorbankan 400 nyawa, katanya.

Suharyanto berkata, kerajaan juga berhasrat untuk memindahkan penduduk secara kekal, terutamanya mereka yang menetap di Pulau Ruang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.