Rumah kosong di Jepun cecah rekod baharu 9 juta

Rumah kosong di Jepun cecah rekod baharu 9 juta

Angka ini membentuk 13.8% daripada keseluruhan rumah di negara itu.

Dianggarkan satu daripada kira-kira tujuh rumah di Jepun tidak berpenghuni, menurut tinjauan kerajaan. (Gambar AFP)
TOKYO:
Jumlah rumah kosong di Jepun meningkat kepada rekod baharu 9 juta setakat Oktober 2023, iaitu kenaikan sebanyak 510,000 daripada tinjauan sebelumnya pada 2018, lapor Xinhua.

Jumlah itu juga membentuk 13.8% daripada keseluruhan rumah di negara itu, bermakna satu daripada kira-kira tujuh rumah tidak berpenghuni, menurut tinjauan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri yang diterbitkan Selasa.

Peningkatan jumlah itu boleh dikaitkan dengan peningkatan kes harta benda dibiarkan tanpa pengawasan kerana penghuni warga emas yang bujang meninggal dunia, atau berpindah ke rumah penjagaan, menurutnya.

Daripada 9 juta kediaman yang tidak didiami, 4.43 juta adalah untuk disewa, 330,000 untuk dijual dan 380,000 ialah kediaman kedua yang kosong seperti rumah percutian. Status baki 3.85 juta lagi tidak diketahui, meningkat sebanyak 370,000 daripada tinjauan sebelumnya.

Kaji selidik Perumahan dan Tanah dijalankan setiap lima tahun sejak 1948.

Pada 1973, bilangan rumah kosong berjumlah 1.72 juta, menyumbang 5.5% daripada jumlah rumah. Angka itu meningkat kepada 4.48 juta pada 1993 dan melonjak dua kali ganda dalam tempoh 30 tahun lepas, menurut data kementerian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.