Hujan lebat luar biasa, 143 maut di Pakistan

Hujan lebat luar biasa, 143 maut di Pakistan

Cuaca buruk mengakibatkan banjir kilat dan tanah runtuh sepanjang April.

Pakistan semakin menghadapi cuaca tidak menentu dan hujan monsun yang mengakibatkan kemusnahan. (Gambar AFP)
ISLAMABAD:
Sekurang-kurangnya 143 orang maut di Pakistan akibat panahan petir dan kejadian berkait ribut lain sepanjang April, selepas negara itu menerima hujan lebih dua kali ganda yang lazim dirasai bagi tempoh itu.

Banjir kilat, tanah runtuh dan cuaca buruk sepanjang April turut mengakibatkan kemusnahan kediaman dan hasil tanaman, menurut pihak berkuasa.

Pakistan melihat peningkatan hujan lebat 164% melebihi paras biasa pada April, iaitu sesuatu yang tidak normal, menurut jurucakap Jabatan Kaji Cuaca Pakistan Zaheer Ahmad Babar.

“Kami melihat corak cuaca tidak menentu ini sebagai kesan langsung perubahan iklim,” katanya kepada AFP.

Pakistan semakin terdedah kepada cuaca tidak menentu termasuk hujan monsun teruk yang lazimnya berlaku pada Julai.

Jumlah kematian tertinggi bagi April direkodkan di Khyber Pakhtunkhwa, barat laut negara itu, dengan 83 orang termasuk 38 dilaporkan mati manakala lebih 3,500 kediaman mengalami kerosakan.

“Kematian akibat kejadian bumbung runtuh dan tanah runtuh,” kata Anwar Shahzad, jurucakap pihak berkuasa pengurusan bencana wilayah itu kepada AFP.

Di beberapa kawasan di utara Punjab, tanaman gandum turut musnah akibat hujan batu.

Awal bulan ini, pihak berkuasa melaporkan beberapa orang termasuk petani yang menuai hasil gandum maut dipanah petir di Punjab manakala 21 orang mati akibat pelbagai kejadian berkait hujan.

Sebanyak 21 lagi kematian dilaporkan di Balochistan pada April termasuk beberapa orang yang dipanah petir.

Sekurang-kurangnya 13 orang maut di Kashmir akibat nahas jalan raya berkait banjir.

Pada musim panas 2022, sepertiga Pakistan ditenggelami air akibat hujan monsun teruk yang mengakibatkan jutaan orang hilang tempat tinggal dan kerosakan serta kerugian ekonomi bernilai USD30 bilion, menurut anggaran Bank Dunia.

Sementara itu, bandar terbesar Pakistan, Karachi, mengalami cuaca panas melampau termasuk hari paling panas tahun ini pada Ahad dengan suhu 37 celsius.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.