Sekurang-kurangnya 30 maut serangan Israel di Rafah

Sekurang-kurangnya 30 maut serangan Israel di Rafah

Serangan berlaku beberapa jam sebelum Mesir dijangka menjadi hos rundingan gencatan senjata baharu.

Lebih sejuta orang Palestin mendapatkan perlindungan di Rafah sejak Israel melancarkan serangan tahun lalu. (Gambar AP)
KAHERAH:
Serangan udara Israel terhadap tiga rumah di selatan Rafah membunuh sekurang-kurangnya 25 orang Palestin dan mencederakan ramai yang lain, menurut pekerja perubatan dalam pada pemimpin Hamas tiba di Kaherah untuk sesi rundingan baharu bersama pengantara Mesir serta Qatar.

Pesawat Israel membedil dua rumah di Gaza City, utara Semenanjung Gaza, menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang termasuk dua beradik maut manakala beberapa lain cedera, menurut pegawai perubatan.

Serangan di Rafah itu, di mana lebih sejuta orang mendapatkan perlindungan daripada serangan Israel sejak tahun lalu, berlaku hanya beberapa jam sebelum Mesir dijangka menjadi tuan rumah pemimpin Hamas bagi membincangkan perjanjian gencatan senjata dengan Israel.

Tentera Israel berkata pihaknya sedang menyiasat dakwaan berkenaan.

Menteri Luar Mesir Sameh Shoukry ketika berucap dalam mesyuarat Forum Ekonomi Dunia di Riyadh, Arab Saudi, berkata Kaherah mengharapkan satu cadangan gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Semenanjung Gaza, tetapi masih menantikan maklum balas daripada Israel dan Hamas.

Operasi ketenteraan Israel sejak enam bulan lalu mengorbankan 34,488 orang Palestin termasuk 34 dalam tempoh 24 jam lalu. Seramai 77,645 turut cedera setakat ini, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.

Kebanyakan daripada 2.3 juta penduduk kawasan itu kini hilang tempat tinggal manakala enklaf itu juga mengalami kemusnahan teruk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.