Misi ke Gaza tangguh lagi akibat tekanan Israel, kata FFC

Misi ke Gaza tangguh lagi akibat tekanan Israel, kata FFC

Freedom Flotilla Coalition berkata, ini bukan kali pertama rejim Zionis menggunakan taktik sedemikian untuk menghalang kapal belayar.

Freedom Flotilla Coalition berkata, Israel sedang memberi tekanan kepada Republik Guinea Bissau untuk menarik balik pendaftaran atau lesen kapal utamanya, Akdeniz. (Gambar AFP)
ISTANBUL:
Misi pelayaran “Break The Siege: Mission To Gaza 2024” yang dirancang berlepas hari ini ditangguhkan lagi susulan tekanan rejim Zionis supaya lesen pendaftaran sebuah kapal utamanya, Akdeniz ditarik balik, dakwa Freedom Flotilla Coalition (FFC).

“Freedom Flotilla sedia untuk belayar. Semua dokumen diperlukan telah dihantar kepada lembaga pelabuhan dan kargo dimuatkan serta sedia untuk pelayaran ke Gaza,” kata FFC dalam kenyataan pada Khamis.

Bagaimanapun, katanya, ia dimaklumkan terdapat sekatan pentadbiran dimulakan Israel untuk menghalangnya memulakan pelayaran.

“Israel sedang memberi tekanan kepada Republik Guinea Bissau supaya menarik balik pendaftaran atau lesen kapal utama kami – Akdeniz (Mediterranean). Ini mencetuskan permintaan untuk pemeriksaan tambahan, ini dari negara kapal itu didaftarkan, yang menangguhkan pelayaran pada 26 April seperti dirancang.”

Menurutnya, ini satu lagi contoh Israel menghalang penghantaran bantuan untuk menyelamatkan nyawa penduduk Gaza berdepan kebuluran terancang.

“Berapa ramai lagi kanak-kanak akan mati akibat malnutrisi dan penyahhidratan disebabkan penangguhan ini dan kepungan berterusan yang perlu dipecahkan?” soal FFC.

Ia berkata, ini bukan kali pertama Israel menggunakan taktik sebegini menghalang kapal belayar.

“Kami pernah mengatasi taktik mereka sebelum ini dan bekerja keras menyelesaikan percubaan terbaharu mereka. Kapal kami sudah memenuhi pemeriksaan diperlukan dan kami yakin Akdeniz akan lulus pemeriksaan ini, jika tiada campur tangan politik.

“Kami menjangkakan ini akan mengambil masa beberapa hari. Israel tidak akan mematahkan semangat kami untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk Gaza.”

Aktivis dari 30 negara, termasuk Malaysia berkumpul di Istanbul sejak 18 April lalu untuk persiapan akhir sempena misi “Break the Siege: Freedom Flotilla Mission to Gaza 2024” untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza melalui jalan laut dengan menaiki flotila susulan situasi kemanusiaan teruk di rantau itu.

Tarikh pelayaran asal ialah 21 April lalu, sebelum ia ditunda dua kali kepada 24 dan 26 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.