
Mandla Mandela yang juga Ahli Parlimen Kongres Kebangsaan Afrika (ANC), berkata pihak berkuasa tempatan juga perlu tegas dalam menolak dan membatalkan permit dimohon Israel untuk berlabuh di pelabuhan mereka.
“Hari ini, kami memanggil mereka yang bekerja di pelabuhan seluruh dunia untuk memastikan tiada produk atau barangan dan kapal dari Israel masuk melalui pelabuhan mereka.
“Kami ingin menyeru masyarakat global, semua pelabuhan mesti membatalkan permit Israel masuk ke pelabuhan mereka supaya tidak boleh terus berdagang dengan bebas,” katanya ketika ditemui wartawan di Istanbul pada Rabu.
Disember lalu, Malaysia memutuskan untuk menyekat dan melarang syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan di Malaysia.
Larangan kekal yang berkuat kuasa serta-merta itu sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian serta kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.
Meskipun tindakan itu dilihat langkah “kecil”, Mandla berkata, ia mampu mengubah corak ekonomi Israel, khususnya sekatan di pelabuhan utama dunia.
“Kita telah melihat tindakan ‘kecil’ ini boleh dilakukan. Memandangkan kerajaan tidak melakukan tindakan secukupnya, kami sebagai aktivis kemanusiaan berupaya membawa perubahan diperlukan,” kata Mandla.
Cucu kepada Presiden Afrika Selatan pertama itu akan menyertai pelayaran menghantar bantuan kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition “Break The Siege: Mission To Gaza 2024” yang dijangka memulakan pelayaran esok.
Datuknya merupakan aktivis antiaparteid dan ahli politik yang pernah dipenjarakan selama 27 tahun atas peranannya dalam menentang sistem aparteid merampas hak orang kulit hitam.
Beliau merupakan presiden Afrika Selatan pertama yang dipilih secara demokratik, menjadikan beliau presiden kulit hitam pertama negara itu.
Aktivis dari 30 negara, termasuk Malaysia kini berkumpul di Istanbul sejak 18 April lalu untuk persiapan akhir sempena misi “Break the Siege: Freedom Flotilla Mission to Gaza 2024”.