
Pengerusi KPU Hasyim Asy’ari mengumumkan keputusan itu di pejabat suruhanjaya pada Rabu berikutan Mahkamah Perlembagaan menolak rayuan kedua-dua calon presiden yang kalah, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo, yang mencabar keputusan pilihan raya berkenaan.
Sambil melahirkan rasa syukur pada majlis itu, Prabowo berkata: “Saya amat berbesar hati. Paling penting, kami bersyukur kerana menegakkan proses demokrasi seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan kita.”
Beliau dan Gibran berjanji memberikan komitmen untuk berkhidmat kepada semua rakyat Indonesia, termasuk bukan penyokong, dan berjanji menunjukkannya melalui tindakan.
Prabowo yang juga menteri pertahanan menyeru elit politik untuk bersatu dan memajukan negara selepas proses demokrasi yang mencabar.
“Rakyat mengharapkan pemimpin bekerjasama untuk kemakmuran dan menamatkan kemiskinan, rasuah dan kelaparan di Indonesia,” katanya.
Beberapa menteri, parti politik, calon presiden Anies dan calon naib presiden, Muhaimin Iskandar, turut hadir pada majlis itu.
Pada Isnin, Mahkamah Perlembagaan memutuskan bahawa dakwaan Anies dan Ganjar mengenai penyalahgunaan bantuan sosial dan pelanggaran berkecuali pegawai kerajaan tidak mempunyai alasan undang-undang.
Keputusan itu membuka jalan bagi Prabowo untuk menjadi presiden seterusnya, menggantikan Joko Widodo, yang akan menamatkan penggal kedua dan terakhirnya pada Oktober tahun ini.
Majlis angkat sumpah presiden dan naib presiden akan diadakan pada 20 Okt.
Pada pilihan raya 14 Feb lepas, Prabowo dan anak sulung Joko Widodo, Gibran memperoleh kemenangan dengan 58.6% undi, daripada 164,227,475 undi.
Anies, bekas gabenor Jakarta dan Muhaimin memperoleh 24.9%, manakala Ganjar, bekas gabenor Jawa Tengah dan rakan kongsinya, Mahfud MD meraih 16.5% undi.