
Ahli Jawatankuasa Pemandu Freedom Flotilla Coalition (FFC), Kamarul Zaman Shaharul Anwar, berkata delegasi daripada beberapa negara berkenaan kini berada di Ankara, Turki untuk mengadakan pertemuan dengan wakil tertinggi kerajaan negara itu.
“Jadi spekulasi adalah mereka sedang memberi tekanan kepada kerajaan Turki dan kita tahu mereka kini berada dalam tekanan bagi membenarkan pelayaran ini diteruskan,” katanya ketika ditemui di Fatih, Istanbul hari ini.
Untuk itu, wakil tertinggi Insani Yardim Vakfi (IHH) yang merupakan penganjur bersama FFC akan mengadakan pertemuan dengan wakil tertinggi kerajaan Turki di Ankara petang ini.
FFC juga dilaporkan akan mengadakan satu mesyuarat hari ini bagi menilai situasi semasa dan implikasi daripada tekanan yang diterima kerajaan Turki ketika ini.
Ia antara lain bagi menilai adakah misi yang dirancang akan ditangguhkan atau dibatalkan disebabkan asakan kuat negara kuasa besar ini.
“Apa pun segala keputusan akan bergantung kepada perbincangan yang akan berlaku pada petang ini melibatkan pimpinan tertinggi IHH dengan wakil kerajaan Turki di Ankara,” katanya lagi.
Pada Jumaat, FFC mengumumkan telah menghantar wakil mereka bagi mengadakan pertemuan dengan wakil tertinggi kerajaan Turki di Ankara bagi memastikan kelancaran pelepasan kapal-kapal terlibat dalam misi ini.
Misi pelayaran yang dijadualkan belayar ke Laut Mediterranean pada Ahad lepas ditangguhkan ke Rabu.
Masalah teknikal pada kapal yang terlibat menjadi antara punca mengapa berlaku penangguhan dalam misi itu.
Terkini, 18 warga Malaysia menyertai masyarakat awam antarabangsa untuk belayar menaiki flotila bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza melalui jalan laut berikutan situasi kemanusiaan yang teruk di rantau itu.
Mereka terdiri daripada doktor, aktivis kemanusiaan dan pengamal media.
Antara pengamal media Malaysia yang menyertai flotila itu ialah penulis yang juga wartawan penyiaran daripada Bernama Muhammad Hafizuddin Mohd Yusof dan jurukamera Bernama TV Mohammad Nulhakim Jailan.
Aktivis dari 30 negara termasuk Malaysia itu kini berkumpul di Istanbul sejak 18 April untuk persiapan akhir sempena misi “Break the Siege: Freedom Flotilla Mission to Gaza 2024” itu.