
DAR ES SALAAM: Sekurang-kurangnya 13 terbunuh dan enam cedera selepas sebuah bas mini bertembung dengan sebuah lori tangki minyak di kawasan Somanga di daerah Kilwa, wilayah Lindi, selatan Tanzania, menurut polis.
Komander polis wilayah Lindi, John Imori dalam sidang akhbar, berkata 11 daripada mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan dua disahkan maut ketika menerima rawatan di sebuah pusat kesihatan tempatan, sambil menambah insiden itu berlaku pada 7.30 pagi waktu tempatan, pada Isnin, lapor Xinhua.
Imori berkata perlanggaran berlaku selepas lori tangki itu melencong ke seberang jalan, iaitu bas mini sedang mengangkut penumpang di lebuh raya Lindi-Dar es Salaam.
Beliau berkata, polis sedang mencari pemandu lori tangki berkenaan yang menghilangkan diri selepas kemalangan itu.