50 mayat ditemukan dalam kubur besar Khan Younis

50 mayat ditemukan dalam kubur besar Khan Younis

Mayat berkenaan ditanam beramai-ramai di Hospital Nasser susulan serangan tentera Israel di wilayah itu.

Pentadbiran Pertahanan Awam Palestin, berkata mayat pelbagai lapisan umur dikumpul askar Israel lalu ditanam dalam kubur besar. (Gambar AP)
ISTANBUL:
Pentadbiran Pertahanan Awam Palestin di Semenanjung Gaza berkata jasad 50 warga Palestin yang dibunuh tentera Israel ditemukan di sebuah kubu besar di selatan wilayah Khan Younis, kata dalam kenyataan pada lewat Sabtu.

“Hari ini (Sabtu) pasukan kami di Khan Younis menemukan 50 jasad mereka yang mati syahid daripada pelbagai lapisan umur yang dikumpulkan tentera Israel dan ditanam beramai-ramai di Hospital Nasser, lapor Anadolu yang memetik kenyataan itu.

Kenyataan itu menekankan masih terdapat mayat dalam kubur besar dan di bawah runtuhan, sambil menambah pasukan pertahanan awam akan terus mencari dan mengeluarkan mayat berkenaan.

Tentera Israel mengumumkan pengundurannya dari Khan Younis pada 7 April, selepas operasi selama empat bulan menyasarkan untuk menyelamatkan warga Israel yang ditawan kumpulan pejuang Palestin, Hamas tetapi ia meninggalkan bandar itu tanpa mencapai matlamatnya.

Operasi tentera Israel mengakibatkan kerosakan jalan raya, kediaman, dan infrastruktur.

Tanpa mempedulikan perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa, Israel meneruskan serangannya ke atsa Gaza dan mengakibatkan 34,049 warga Palestin maut kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta 76,901 lagi cedera sejak 7 Okt lepas, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.

Serangan Israel itu telah mengakibatkan 85% penduduk Gaza hilang tempat tinggal selain daripada menghadapi kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang akut, sementara 60% infrastruktur kawasan itu sama ada rosak ataupun musnah.

Serangan masih berterusan dan penghantaran bantuan masih tidak mencukupi untuk menangani krisis kemanusiaan itu.

Dalam pada itu, seorang kanak-kanak maut setiap 10 minit di Semenanjung Gaza, menurut Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA).

“Amat menyedihkan sejumlah kanak-kanak juga cedera di tengah-tengah serangan berterusan tanpa mengira sasaran,” katanya dalam hantaran di X, menurut Agensi Anadolu.

“Satu gencatan senjata segera adalah harapan terakhir yang tinggal,” kata UNRWA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.