Beratus dipindah akibat letusan Gunung Ruang

Beratus dipindah akibat letusan Gunung Ruang

Pihak berkuasa tempatan mengisytiharkan darurat selama 14 hari, berkuat kuasa semalam hingga 29 April ini.

Letusan Gunung Ruang pada Selasa malam memuntahkan abu yang mengganggu rangkaian komunikasi dan isyarat di Kampung Laingpatehi. (Gambar Facebook)
JAKARTA:
Peningkatan aktiviti gunung berapi di Gunung Ruang, Kepulauan Sitaro, wilayah Sulawesi Utara sejak Selasa lalu menyebabkan pemindahan 272 keluarga atau 828 individu dari kampung berhampiran.

Tempat perlindungan sementara di sekitar kawasan Tagulandang kini menempatkan 45 orang, manakala 783 lagi berpindah ke rumah saudara-mara berdekatan atau ke tanah besar menggunakan feri dan bot.

Pihak berkuasa tempatan mengisytiharkan darurat selama 14 hari, berkuat kuasa semalam hingga 29 April ini.

Badan Nasional Penanggulan Bencana (BNPB) menyediakan barangan keperluan, termasuk 123 tikar, 120 selimut dan 400 pelitup muka.

“Kerajaan tempatan menggerakkan 50 anggota, termasuk agensi mitigasi daerah (BPBD), agensi mencari dan menyelamat (Basarnas), petugas kesihatan dan bomba,” kata jurucakap BNPB, Abdul Muhari dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, letusan pada Selasa malam memuntahkan abu gunung berapi yang mengganggu rangkaian komunikasi dan isyarat di Kampung Laingpatehi.

Status gunung berapi itu dinaikkan daripada tahap II (awas) kepada tahap III (amaran) pada 4 petang Selasa (waktu tempatan).

“Penduduk dan pelancong dinasihatkan berhati-hati serta mengelak memasuki radius 4km di sekitar kawah aktif gunung berapi Gunung Ruang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.