
JAKARTA: Pasukan mencari dan menyelamat menemui dua lagi mayat di Tana Toraja, Sulawesi Selatan, menjadikan keseluruhan 20 orang maut dalam tanah runtuh di wilayah itu, menurut Badan Nasional Penanggulan Bencana (BNPB) pada Selasa, lapor Xinhua.
Hujan lebat mengakibatkan tanah runtuh di kawasan yang tanahnya tidak stabil di Kampung Lembang Randan Batu dan Manggau pada 10.30 malam Sabtu lalu (waktu tempatan), menyebabkan beberapa orang cedera dan empat rumah tertimbus.
Operasi mencari dan menyelamat dijalankan dalam keadaan hujan dan berkabus, dengan tanah runtuh menyekat laluan.
Semua mangsa hilang sudah ditemui dengan penemuan dua mayat itu. Operasi mencari dan menyelamat dihentikan, tetapi pasukan itu masih berada di sana, sekiranya ada lagi laporan orang hilang diterima daripada penduduk tempatan.