Australia lantik bekas panglima, pantau siasatan kematian petugas kemanusiaan

Australia lantik bekas panglima, pantau siasatan kematian petugas kemanusiaan

Mark Binskin akan berurusan dengan Israel berkait serangan membunuh Zomi Frankcom, petugas kemanusiaan World Central Kitchen.

Zomi Frankcom antara pekerja World Central Kitchen maut dalam serangan udara tentera Israel di Semenanjung Gaza, pada 1 April. (Gambar Reuters)
SYDNEY:
Australia mengumumkan pelantikan penasihat khas memantau siasatan Israel terhadap serangan udara di Semenanjung Gaza minggu lalu, mengorbankan tujuh petugas bantuan kemanusiaan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Mark Binskin yang pernah berkhidmat sebagai panglima Angkatan Tentera Australia akan melakukan libat urus dengan Israel dan tentera Israel mengenai respons kepada serangan yang membunuh Zomi Frankcom dan rakan sekerjanya, kata Menteri Luar Australia Penny Wong dalam kenyataan.

“Kerajaan Australia telah menjelaskan bahawa kami mengharapkan kebertanggungjawapan sepenuhnya di atas kematian ini,” kata Wong.

“Pelantikan Binskin akan memastikan keluarga Zomi Frankcom dan rakyat Australia mempunyai keyakinan di dalam proses (siasatan) ini.”

Frankcom merupakan seorang daripada pekerja World Central Kitchen yang maut dalam serangan udara tentera Israel di Semenanjung Gaza, pada 1 April.

Enam lagi petugas terkorban adalah dari Poland, United Kingdom, Palestin dan seorang yang mempunyai dwikewarganegaraan Amerika Syarikat dan Kanada.

Satu laporan penyiasatan Israel yang dikeluarkan pada Jumaat, berkata insiden itu merupakan “satu kegagalan yang serius”. Konvoi bantuan kemanusiaan itu diserang kerana disyaki ada dua anggota Hamas bersenjata dalam kenderaan.

Tentera Israel tidak mengenali kenderaan sebagai dimiliki oleh organisasi bantuan kemanusiaan itu walaupun ia dengan jelas mempunyai tanda. Serangan itu merupakan pelanggaran serius arahan tentera dan prosedur standard operasi, menurut laporan itu.

“Keputusan penyiasatan itu menunjukkan insiden itu tidak sepatutnya berlaku.

Tentera Israel melucutkan dua pegawainya daripada jawatan mereka berikutan insiden itu.

Perdana Menteri Australia Anthony Albanese, berkata maklumat yang diberikan Israel mengenai siasatan itu setakat ini tidak memuaskan hati pihaknya.

“Jadi, kami mengharapkan Binskin akan dapat mengusahakan sesuatu yang menyediakan lebih banyak maklumat,” Albanese memberitahu stesen penyiar negara ABC.

“Kami mahu pastikan semua bukti dijaga. Kami mahu pastikan jika penyiasatan itu mendapati pegawai tentera Israel itu bertindak tidak mengikut undang-undang, maka tindakan sewajarnya perlu diambil dan tindakan sedemikian perlu diketahui umum,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.