
Xinhua memetik sumber penguatkuasaan undang-undang memaklumkan stesen televisyen KABC tempatan bahawa kecurian itu berlaku di sebuah fasiliti GardaWorld di Sylmar, kawasan pinggir bandar di Lembah San Fernando pada Ahad lalu.
Pencuri memecah masuk kemudahan itu melalui bumbung tanpa dikesan – tanpa mematikan penggera – dan masuk ke kawasan penyimpanan wang, yang mungkin merupakan bilik kebal, menurut laporan itu memetik pegawai yang diberikan taklimat mengenai siasatan.
Syarikat memiliki bangunan itu tidak menyedari kecurian itu sehingga pagi Isnin.
Sumber penguatkuasaan undang-undang dipetik akhbar tempatan utama Los Angeles Times sebagai berkata, kes pecah masuk itu antara kecurian terbesar dalam sejarah Los Angeles berkaitan wang tunai dan jumlahnya melepasi mana-mana rompakan kenderaan perisai di bandar itu.
Kecurian berlaku di pusat kemudahan yang mengendalikan dan menyimpan wang tunai perniagaan dari seluruh wilayah itu pada malam Ahad, menurut laporan sambil menambah proses pecah masuk rumit dan kru pencuri berpengalaman disyaki tahu cara mendapatkan akses ke kemudahan terbabit tanpa disedari.
Rompakan tunai terbesar di Los Angeles sebelum ini berlaku pada 12 Sept 1997 membabitkan USD18.9 juta dari bekas tapak kemudahan berperisai di bandar itu, menurut laporan akhbar.