Taiwan cari 18 mangsa hilang selepas gempa

Taiwan cari 18 mangsa hilang selepas gempa

Ia termasuk empat warga asing yang disenaraikan sebagai warga India, Kanada dan Australia.

Pasukan mencari dan menyelamat bersiap sedia di luar sebuah bangunan condong selepas gempa menggegarkan daerah Hualien, timur Taiwan Rabu lalu. (Gambar Taiwan’s National Fire Agency via AP)
HUALIEN:
Pasukan penyelamat Taiwan terus mencari 18 mangsa hilang selepas gempa kuat 7.2 magnitud melanda pantai timur negara itu yang diikuti puluhan gegaran susulan.

Gempa yang melanda daerah Hualien, timur Taiwan pada Rabu lalu itu meragut 10 nyawa dan menyebabkan ratusan orang terperangkap di sebuah taman negara.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Taiwan memaklumkan 18 mangsa hilang, termasuk empat warga asing disenaraikan sebagai warga India, Kanada dan Australia yang tidak diketahui lokasi mereka.

Enam lagi mangsa hilang di laluan mendaki, dengan 45 penyelamat cuba mengesan mereka.

Pasukan penyelamat mengesahkan kira-kira 400 orang yang terputus hubungan di sebuah hotel mewah di Taman Negara Taroko Gorge selamat dan helikopter digunakan untuk menghantar bekalan serta membawa mangsa cedera ke hospital.

Sekumpulan 50 pekerja terperangkap ketika dalam perjalanan ke hotel itu dan kebanyakannya kini selamat.

Kira-kira 50 gegaran susulan mengejutkan Hualien semalaman, dengan ada di antaranya dirasai di ibu negara Taipei.

Lebih 100 maut dalam gempa yang melanda selatan Taiwan pada 2016, manakala gempa 7.3 magnitud meragut lebih 2,000 nyawa pada 1999.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.