
Saksi berkata, tentera Israel berundur sepenuhnya daripada hospital itu dan penempatan sekitar, bergerak ke arah selatan kejiranan Tel al-Hawa di barat daya Gaza.
Sebelum berundur, tentera Israel membakar semua bangunan Hospital al-Shifa menjadikannya tidak boleh beroperasi langsung. Bilik pembedahan dan wad hospital runtuh sepenuhnya, sementara bahagian lain termasuk tempat menyambut pelawat dan unit kecemasan dibakar memusnahkan kesemua peralatan perubatan di dalamnya, menurut saksi.
Saksi juga berkata, tentera Israel turut membakar unit rawatan buah pinggang, kanser, mangsa kebakaran, wad bersalin, dan rumah mayat selain daripada meruntuhkan bangunan klinik pesakit luar.
Mereka berkata, ramai terkorban di Hospital Shifa dan jalan raya sekitarnya seperti Omar al-Mukhtar, Izz ad-Din al-Qassam, Abu Hasira, Bekir, dan Habbush sementara tentera Israel memusnahkan perkuburan sementara warga Palestin di Hospital Shifa dengan mengeluarkan mayat dan meletakkannya di kawasan lain dalam hospital itu.
Hospital itu dikepung pada 18 Mac, sejak itu tentera Israel membunuh lebih daripada 400 warga Palestin dan memusnahkan lebih 1,050 kediaman dalam serangan 14 hari ke atas Hospital al-Shifa di Bandaraya Gaza, lapor pejabat media kerajaan pada Sabtu.
Israel melakukan serangan ketenteraan di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt tahun lalu.
Hampir 32,800 warga Palestin terkorban dan 75,300 lagi cedera selain kemusnahan pada skala besar dan kekurangan bekalan keperluan. Israel telah mengenakan sekatan yang menjejaskan Semenanjung Gaza mengakibatkan penduduknya kelaparan.
Israel juga telah mengakibatkan 85% penduduk Gaza hilang tempat tinggal selain daripada kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang serius, sementara 60% daripada infrastruktur telah rosak atau musnah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Israel turut menghadapi pendakwaan melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang pada Khamis lalu turut diperintahkan supaya bertindak untuk mengelakkan kebuluran di Gaza.