Resolusi perangi Islamofobia diterima di PBB

Resolusi perangi Islamofobia diterima di PBB

Sejumlah 115 negara menyokong manakala 44 berkecuali antaranya Great Britain, India, Korea Selatan, dan EU.

Resolusi memerangi Islamofobia dibawa Pakistan dalam Perhimpunan Agung PBB mendapat sokongan majoriti dan tiada negara menentang. (Gambar AP)
NEW DELHI:
Resolusi dibawa Pakistan bagi memerangi Islamofobia diterima Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) selepas mendapat sokongan majoriti.

Resolusi itu diterima pada Hari Antarabangsa bagi Memerangi Islamofobia pada Jumaat dengan 115 undi menyokong dan tiada undi menentang.

Perhimpunan Agung itu mengutuk perbuatan mengapi-apikan diskriminasi, kebencian atau keganasan terhadap umat Islam seperti yang ditunjukkan dalam insiden pembakaran kitab suci al-Quran, menyerang masjid, premis berkaitan Islam, dan tindakan tidak bertoleransi lain terhadap agama.

“Penerimaan resolusi itu tepat pada masanya di tengah-tengah peningkatan Islamofobia, kata Kementerian Luar Pakistan.

Resolusi itu dibentangkan dalam Perhimpunan 193 ahli itu oleh Pakistan bagi pihak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Terdapat 44 undi berkecuali pada perhimpunan itu antaranya dari Great Britain, India, Korea Selatan, dan Kesatuan Eropah.

Perhimpunan itu juga menggesa pelantikan Perutusan Khas PBB bagi Memerangi Islamofobia.

Pada Jumaat di Geneva, Nassima Baghli, pemerhati tetap OIC berkata “Islamofobia sedang meningkat berikutan serangan Israel ke atas Gaza.”

Malaysia pula menggesa langkah kukuh diambil bagi menangani Islamofobia sambil mengalu-alukan pelantikan Perutusan Khas PBB bagi tujuan itu.

“Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengenal pasti langkah-langkah kukuh dalam membanteras keadaan dan perlakuan semasa yang memupuk perbuatan-perbuatan keji ini,” kata Kementerian Luar dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.