Israel bom rumah penduduk, 80 rakyat Palestin terbunuh

Israel bom rumah penduduk, 80 rakyat Palestin terbunuh

Pengeboman turut mengakibatkan berpuluh lagi terperangkap bawah runtuhan.

Ramai penduduk terkorban apabila tentera Israel mengebom perumahan awam di Gaza. (Gambar AP/Hatem Ali)
ISTANBUL:
Sekurang-kurangnya 80 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan semalaman Israel ke atas Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu.

Laporan media di Gaza menyatakan bahawa Israel terus menyerang pelbagai bahagian di wilayah terkepung itu, termasuk Kem Pelarian Nusairat dan Bandaraya Gaza.

Serangan itu mengakibatkan ramai penduduk cedera dalam serangan menyasarkan rumah dan bangunan awam.

Tentera Israel mengebom sebuah rumah di jalan al-Jala menyebabkan ramai penduduk terperangkap di bawah runtuhan.

Serangan itu juga memusnahkan sebuah bangunan tujuh tingkat berhampiran Hospital al-Shifa di Bandaraya Gaza, mengakibatkan kematian berpuluh-puluh penduduk, dengan lebih ramai lagi terperangkap di bawah runtuhan.

Pasukan pertahanan awam Palestin mengeluarkan lima mayat penduduk daripada runtuhan bangunan itu, manakala usaha menyelamat lain masih diteruskan.

Sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan ke atas sebuah rumah di kawasan perumahan Tuffah di Bandaraya Gaza.

Menurut Pejabat Media kerajaan Gaza, ramai penduduk terbunuh apabila tentera Israel mengebom sebuah rumah di kawasan perumahan Nasr.

Tentera rejim juga menyerang sebuah rumah di Kem Pelarian Nusairat, membunuh sekurang-kurangnya 36 rakyat Palestin.

Sejak 7 Okt lalu, sekurang-kurangnya 31,490 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak telah terbunuh di Gaza, manakala 73,439 lagi cedera dalam serangan berterusan Israel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.