New Delhi tingkat tahap keselamatan menjelang himpunan petani

New Delhi tingkat tahap keselamatan menjelang himpunan petani

Ribuan petani dijangka tiba untuk menyertai himpunan menyokong permintaan bagi harga tanaman lebih tinggi.

Petani berkata, sekurang-kurangnya seorang penunjuk perasaan maut dalam pertempuran dengan polis, manakala berpuluh-puluh lagi cedera. (Gambar AP)
NEW DELHI:
Polis di ibu negara memasang penghadang, meningkatkan kawalan keselamatan dan memberi amaran kesesakan lalu lintas pada Khamis ketika ribuan petani dijangka tiba untuk himpunan menyokong permintaan harga tanaman lebih tinggi.

Ribuan petani memulakan perarakan “Delhi Chalo” (Mari ke Delhi) bulan lalu untuk menuntut jaminan harga lebih tinggi bagi tanaman mereka, tetapi dihalang pasukan polis bersenjatakan gas pemedih mata dan meriam air kira-kira 200km ke utara ibu negara.

Penunjuk perasaan yang kebanyakannya berasal dari negeri utara Punjab, menggesa petani di seluruh negara berhimpun di tanah lapang ikonik, Ramlila Maidan pada Khamis untuk meningkatkan kempen mereka, beberapa hari menjelang PRU.

Polis membenarkan 5,000 petani berkumpul di tanah lapang itu, tetapi pemimpin petani berkata, mereka tidak boleh berjanji akan mematuhi had itu, lapor media tempatan.

“Perhimpunan besar dengan petani dari semua kawasan di India dijangka menyertai protes itu,” kata polis Delhi dalam nasihat trafik pada Rabu.

Polis di pinggir bandar Noida turut memberi amaran kepada penumpang, mungkin berlaku kesesakan lalu lintas dan lencongan di laluan menuju ke New Delhi kerana kenderaan memasuki ibu negara akan “diperiksa”.

Minggu lalu, pemimpin petani dilaporkan berkata, orang ramai dari beberapa negeri di bahagian tengah dan utara dijangka menyertai perhimpunan pada Khamis, manakala kumpulan petani dari selatan dan barat India juga bersedia menyertai protes itu.

Protes itu menyusul beberapa minggu sebelum PRU yang dijadualkan menjelang Mei, di mana Perdana Menteri, Narendra Modi cuba berkuasa untuk penggal ketiga.

Petani berkata, sekurang-kurangnya seorang penunjuk perasaan maut dalam pertempuran dengan polis, manakala berpuluh-puluh lagi cedera.

Protes sepanjang tahun yang sama dua tahun lalu memaksa Modi memansuhkan beberapa undang-undang reformasi ladang dalam kekalahan politik terbesarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.