Projek perintis hantar bantuan terus ke utara Gaza bermula

Projek perintis hantar bantuan terus ke utara Gaza bermula

Enam trak bantuan menyeberang dari Israel terus ke utara Gaza.

Pekerja bantuan menyalahkan pemeriksaan menyusahkan sebagai punca utama kekurangan bantuan ke Gaza. (Gambar AP)
BAITULMAQDIS:
Enam trak bantuan menyeberang dari Israel terus ke utara Gaza pada Selasa sebagai sebahagian projek perintis bagi memastikan penghantaran bekalan ke kawasan itu, umum tentera rejim Zionis.

Kumpulan bantuan memberi amaran berhubung risiko kebuluran di Gaza dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan kesukaran mengakses kawasan utara wilayah itu untuk penghantaran bekalan makanan serta bantuan kemanusiaan lain.

Tentera Israel berkata, enam trak bantuan Program Makanan Sedunia (WFP) “memasuki utara Semenanjung Gaza melalui pintu ’96’ di pagar keselamatan” pada Selasa.

“Ini sebahagian projek perintis bagi mengelakkan organisasi Hamas mengambil alih bantuan itu,” katanya sambil menambah trak diperiksa di Kerem Shalom terlebih dahulu.

“Hasil projek perintis itu akan dikemukakan kepada pegawai kerajaan.”

Israel mengekalkan kawalan ketat ke atas bantuan yang memasuki Semenanjung Gaza sejak perangnya dengan Hamas bermula, memeriksa penghantaran di Nitzana dan Kerem Shalom sebelum membenarkan mereka masuk melalui selatan wilayah itu.

Pekerja bantuan berkata, pemeriksaan menyusahkan itu punca utama kekurangan bantuan sangat ketara dan penghantaran kadangkala bergelut untuk sampai ke utara Gaza.

Israel menyalahkan masalah di pihak Palestin atas penghantaran bantuan tidak mencukupi.

Amerika Syarikat dan negara lain menghantar bekalan ke utara Gaza melalui udara, manakala sebuah kapal bantuan dalam perjalanan dari Cyprus menerusi koridor maritim kemanusiaan baharu, tetapi pekerja bantuan berkata, penghantaran darat dipertingkatkan akan menjadi lebih berkesan untuk menghantar bekalan secara berskala.

Tanpa menyebut secara khusus laluan darat baharu, WFP menerusi X berkata, ia “menghantar makanan untuk 25,000 orang ke Gaza pada Selasa dalam (konvoi) pertama ke utara sejak 20 Feb”.

“Ketika penduduk di utara #Gaza di ambang kebuluran, kami memerlukan penghantaran setiap hari + kami memerlukan pintu masuk terus ke kawasan utara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.