Saya akan bebas perusuh Capitol jika dipilih semula, kata Trump

Saya akan bebas perusuh Capitol jika dipilih semula, kata Trump

Calon presiden Republikan itu mendakwa 500 'tebusan' dipenjarakan secara salah.

Kira-kira 1,358 defendan sudah didakwa, dengan 500 daripadanya dijatuhkan hukuman penjara kerana terbabit dalam serangan di Capitol pada 2021. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Donald Trump berikrar akan membebaskan individu digelarnya “tebusan” yang dipenjarakan kerana mengambil bahagian dalam serangan di Capitol pada 2021, jika dipilih semula.

Perusuh menyerbu kerusi demokrasi AS pada 6 Jan 2021 dalam usaha menghentikan peralihan kuasa kepada Joe Biden.

Kira-kira 1,358 defendan didakwa dalam tempoh 38 bulan sejak itu, menurut angka terkini Jabatan Kehakiman pada minggu lalu. Kira-kira 500 orang dijatuhkan hukuman penjara.

Trump memuat naik komen itu di laman web Truth Socialnya, selain berjanji akan menutup sempadan dengan Mexico sebagai sebahagian tindakan pertamanya jika dipilih semula, tanpa memberikan butiran.

Ini bukan kali pertama Trump menggelar penyokongnya yang dipenjarakan sebagai “tebusan” atau mencadangkan mereka perlu dibebaskan.

Januari lalu, beliau memohon Biden “membebaskan tebusan J6, Joe” dalam perhimpunan kempennya di Iowa.

Trump berdepan empat pertuduhan jenayah berpunca daripada percubaannya membatalkan keputusan pilihan raya selepas tewas kepada Biden.

Trump hampir yakin menjadi calon presiden Republikan sekarang apabila saingan terakhirnya, Nikki Haley, tersingkir daripada saingan susulan kemenangan besarnya dalam pemilihan utama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.