
Suasana dan perasaan menyambut bulan suci Ramadan di pasar bandar Nablus (utara Tebing Barat) kali ini sangat suram,” luah seorang warganya Abdul Latif Al-Kharaz.
Bercerita kepada Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) al-Kharaz, berkata Ramadan tahun ini berbeza sama sekali dengan tahun-tahun sebelumnya.
Beliau yang juga seorang penjaja di bandar lama Nablus selama bertahun-tahun berkata bulan Ramadan di bandar ini biasanya disambut dengan meriah dan istimewa kecuali tahun ini disebabkan pencerobohan Israel tanpa henti ke atas Gaza sejak 7 Okt lalu.
“Kebiasaannya sehari sebelum menjelang Ramadan, pasar-pasar di bandar ini akan sesak dengan pengunjung dan mereka mengambil masa yang lama untuk membeli barangan kerana pergerakan yang terbatas akibat terlampau sesak”, katanya.
Warga tempatan, Ummu Mustafa Abu Hatab yang merupakan pelanggan tetap di pasar tersebut, turut mengakui hakikat itu.
“Tahun ini menjadi tahun yang sangat suram terutama penduduk Gaza yang terpaksa berhempas-pulas bagi mendapatkan sekeping roti untuk dimakan, malah mungkin mereka terpaksa berpuasa sepanjang hari kerana tiada makanan,” katanya.
Rakyat Palestin berusaha mencari tawaran harga terendah untuk membeli barang keperluan ketika konflik ini selain mengehadkan diri mereka untuk membeli barang yang diperlukan sahaja.
Seorang peniaga Alaa Saad El Din menggambarkan keadaan dihadapi penduduk ketika ini amat sukar dalam semua perkara dan keadaan.
“Biasanya kami melihat suasana yang sibuk di pasar Nablus sebulan sebelum tibanya Ramadan, tetapi pada tahun ini orang ramai hanya mula membeli barang keperluan mereka sejak dua hari lepas dan suasana amat berlainan berbanding tahun-tahun sebelumnya”.
Jurucakap media Dewan Perniagaan dan Perindustrian Nablus, Yassin Dweikat berkata Ramadan seharusnya menjadi bulan terbaik bagi peniaga dari segi jualan dan keuntungan terutama di bandar lama Nablus.
“Tetapi, semuanya berubah pada tahun ini apabila keadaan ekonomi kami juga sangat memeritkan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah.
“Hal ini diburukkan lagi dengan pencerobohan berterusan Israel ke atas semenanjung Gaza yang sudah berlarutan selama lebih lima bulan.
“Bandar Nablus juga kini dikelilingi oleh 31 pusat pemeriksaan dan 14 pagar besi yang telah menghalang pergerakan penduduk bandar dan menjejaskan hampir keseluruhan ekonomi di sini,” katanya.
Menurutnya, rata-rata penduduk Palestin tidak mempunyai pekerjaan kerana majikan tidak mampu membayar gaji, selain harta mereka juga disita Zionis Israel kerana kononnya tidak membayar cukai.
“Oleh sebab itu mereka hanya menghadkan pembelian dan membeli barang yang mereka benar-benar perlu sahaja”, katanya.
Serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lepas membunuh 31,112 rakyat Palestin dan mencederakan 72,760 penduduk selain menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.