Hantar bantuan Gaza melalui udara, laut bukan ‘pengganti’ laluan darat, kata PBB

Hantar bantuan Gaza melalui udara, laut bukan ‘pengganti’ laluan darat, kata PBB

Sigrid Kaag berkata, kepelbagaian laluan darat kekal penyelesaian optimum.

Penyelaras bantuan PBB, Sigrid Kaag berkata proses pemeriksaan rumit di sempadan penghalang utama untuk menghantar bantuan ke Gaza. (Gambar AP)

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui laut atau menggugurkan bekalan menerusi udara tidak cukup “menggantikan” penghantaran darat, kata penyelaras bantuan PBB bagi wilayah Palestin pada Khamis selepas mesyuarat tertutup Majlis Keselamatan.

Sigrid Kaag berkata, mesejnya kepada Majlis Keselamatan PBB ialah masyarakat antarabangsa perlu “membanjiri pasaran di Gaza dengan barangan kemanusiaan” dan “mencergaskan semula sektor swasta” supaya lebih banyak barang komersial boleh memenuhi keperluan orang awam.

“Kepelbagaian laluan bekalan melalui darat kekal penyelesaian optimum.

“Ia lebih mudah, pantas, murah dan khasnya jika kami tahu bantuan kemanusiaan perlu dikekalkan kepada rakyat Gaza untuk jangka panjang.”

Kenyataannya menyusul pengumuman rancangan White House pada Khamis untuk membina sebuah pelabuhan di Gaza bagi mendapatkan lebih banyak bantuan kemanusiaan dan selepas beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat, menggugurkan bantuan dari pesawat sejak kebelakangan ini.

Kaag menyambut baik pengguguran bantuan melalui udara yang disifatkannya “tanda sokongan bagi orang awam di Gaza” dan “saksi kepada kemanusiaan kita bersama”.

“Tetapi, ia masih jauh daripada mencukupi,” kata bekas menteri kewangan Belanda itu yang dilantik pada Disember lalu susulan resolusi Majlis Keselamatan menggesa bantuan “berskala besar” untuk Gaza.

Kaag berkata, proses pemeriksaan rumit di sempadan penghalang utama untuk menyerahkan bantuan kepada penduduk Gaza.

“Jika semuanya melalui satu atau dua lintasan, ia lebih sukar diproses. Semakan pengesahan mengambil masa. Ada proses menyusahkan.”

Jurucakap setiausaha agung PBB itu berkata, trak yang tiba di lintasan Rafah, sempadan Mesir-Gaza perlu mengeluarkan barang untuk pemeriksaan, sebelum dimasukkan semula, selalunya ke trak lebih kecil.

“Kemudian, kita perlu mencari cara mengagihkan bantuan itu; kita perlu mencari kaedah untuk memudahkan pengagihan itu di banyak kawasan, yang memerlukan penyelarasan keselamatan dengan tentera Israel,” kata Stephane Dujarric.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.