
Afrika Selatan dalam permintaan baharunya berkata, ia dibuat berikutan “fakta baharu dan perubahan dalam situasi di Gaza, khususnya kebuluran meluas”, menurut ICJ dalam kenyataan yang dipetik Agensi Anadolu.
Menurut permintaan itu, kekejaman berterusan oleh Israel melanggar Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid serta pelanggaran langkah sementara oleh mahkamah pada Januari lalu.
Israel dituduh di ICJ kerana melakukan genosid dan mahkamah pada Januari lalu membuat keputusan sementara mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan genosid serta mengambil langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan sampai kepada orang awam di Gaza.
Serangan maut tentera Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lalu membunuh lebih 30,700 rakyat Palestin dan mencederakan 72,000 lagi di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran serta kekurangan barang keperluan.
Israel turut melaksanakan sekatan yang melumpuhkan Semenanjung Gaza, menyebabkan penduduknya, khususnya di utara Gaza, berada di ambang kebuluran.
Perang Israel menyebabkan 85% penduduk Gaza berpindah di tengah-tengah kekurangan serius makanan, air bersih dan ubat-ubatan.
Menurut PBB, 60% infrastruktur wilayah itu juga rosak atau musnah.