
Serangan itu berlaku di daerah Dumka, negeri Jharkhand, di mana mangsa bersama suaminya yang menaiki motosikal berhenti untuk bermalam dalam khemah.
Wanita itu mendapatkan bantuan sebuah van peronda polis kira-kira 11 malam dan dibawa ke hospital untuk rawatan, kata pegawai polis Pitamber Singh Kherwar kepada akhbar The Times of India.
Kherwar berkata, polis sedang memburu lebih ramai suspek selepas menahan tiga lelaki.
Data Biro Rekod Jenayah Kebangsaan menunjukkan purata hampir 90 kes rogol dilaporkan di India setiap hari pada 2022.
Pun begitu, masih ada sejumlah besar kes rogol tidak dilaporkan susulan stigma di sekeliling mangsa dan kurang kepercayaan terhadap siasatan polis.
Sabitan pula jarang berlaku, dengan kes tergantung selama bertahun-tahun dalam sistem keadilan jenayah India.
Satu kes rogol berkumpulan dan pembunuhan seorang pelajar India mendapat perhatian dunia pada 2012.
Jyoti Singh, pelajar fisioterapi berusia 23 tahun, dirogol dan diserang sebelum dibiarkan mati oleh lima lelaki serta seorang remaja dalam bas di New Delhi pada Disember 2012.
Jenayah kejam itu menunjukkan tahap tinggi keganasan seksual di India yang mencetuskan protes selama berminggu-minggu, sebelum negara itu melaksanakan hukuman mati bagi kesalahan rogol.