‘Subahat’ genosid, mangsa di Gaza saman canselor, menteri Jerman

‘Subahat’ genosid, mangsa di Gaza saman canselor, menteri Jerman

Canselor Jerman Olaf Scholz dan Menteri Luar Annalena Baerbock antara yang didakwa menyokong serangan tentera Israel terhadap Palestin.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 26 Jan memerintahkan agar kerajaan Israel menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza. (Gambar AP)
BERLIN:
Mangsa serangan Israel memfailkan aduan jenayah terhadap pegawai tinggi kerajaan Jerman kerana menyokong jenayah perang Israel dan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza, lapor Agensi Anadolu.

Canselor Jerman Olaf Scholz, Menteri Luar Annalena Baerbock, Menteri Pertahanan Boris Pistorius, dan Menteri Ekonomi Robert Habeck didakwa “bersubahat dalam genosid di Gaza” dengan menyokong serangan tentera Israel dan membenarkan pengeksportan senjata bernilai €326 juta ke Israel.

Peguam yang memfailkan aduan jenayah di pejabat pendakwa raya persekutuan di Karlsruhe, Jerman, memberitahu sidang akhbar di Berlin pada Jumaat bahawa kerajaan di Eropah mempunyai kewajipan undang-undang untuk tidak menyokong Israel.

“Ini perlu dihentikan dan inilah yang kami harap dapat dicapai di mahkamah,” katanya.

Tuntutan ini menghantar mesej yang jelas kepada pegawai Jerman bahawa anda tidak boleh terus kekal sebagai rakan jenayah tanpa menerima akibatnya. Kami mahukan akauntabiliti.”

Samour berkata, undang-undang Jerman memerlukan asas untuk memulakan siasatan mengenai potensi jenayah yang dilakukan.

“Keputusan sementara Mahkamah Keadilan Antarabangsa jelas menunjukkan bahawa terdapat asas untuk melibatkan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza,” katanya merujuk kepada keputusan 26 Jan yang memutuskan supaya kerajaan Israel menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai dan mengambil langkah untuk memastikan orang awam di Gaza mendapat bantuan kemanusiaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.