
Menteri Luar Bangladesh Muhammad Hasan Mahmud bertemu dengan rakan sejawatnya dari India Subrahmanyam Jaishankar, di New Delhi pada Rabu, lapor Agensi Anadolu.
Kedua-dua pihak membincangkan perkembangan terkini di Myanmar dan kesannya terhadap kestabilan serantau, menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar Bangladesh.
Pertempuran antara tentera junta Myanmar dengan sekurang-kurangnya tiga kumpulan pemberontak semakin meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Ia menyebabkan ratusan pasukan keselamatan Myanmar melarikan diri ke India dan Bangladesh.
Insiden berbalas tembakan merentas sempadan antara pihak bertelagah dari Myanmar ke Bangladesh dan China telah mengakibatkan dua kematian, manakala beberapa lagi cedera.
Sementara itu, Dhaka memaklumkan bahawa penghantaran pulang pelarian Rohingya dari Bangladesh ke Myanmar telah dibincangkan dan menteri Luar Bangladesh mengulangi gesaan kepada India untuk menyokong proses itu.
Kedua-dua menteri itu turut membincangkan kes pembunuhan di sepanjang sempadan Bangladesh-India dan bersetuju meningkatkan kerjasama antara kedua-dua pasukan pengawal sempadan.
Kedua-dua negara Asia Selatan berkongsi sempadan antarabangsa sepanjang 4,096km, sempadan darat kelima terpanjang di dunia.