Kebakaran hutan di Chile ragut 100 nyawa, 200 hilang

Kebakaran hutan di Chile ragut 100 nyawa, 200 hilang

Pihak berkuasa tempatan arah ribuan penduduk meninggalkan kediaman dan isytihar darurat di bandar-bandar terjejas.

Kebakaran hutan di Wilayah Valparaiso kini melibatkan 8,000 hektar. (Gambar AP)
BOGOTA:
Sekurang-kurangnya 99 terbunuh manakala 1,600 orang hilang tempat tinggal akibat kebakaran hutan melanda Wilayah Valparaiso, Chile.

Identiti 32 mayat telah dikenal pasti setakat ini, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan pihak berkuasa.

Setakat ini, sebanyak 161 kebakaran direkodkan di seluruh negara, menurut pengarah Perkhidmatan Pencegahan dan Tindak Balas Bencana Kebangsaan, Alvaro Hormazabal.

Pihak berkuasa tempatan menggesa ribuan penduduk meninggalkan kediaman mereka dan mengisytiharkan darurat di bandar-bandar yang terjejas teruk.

Lebih 200 orang dilaporkan hilang di Vina del Mar dan kawasan sekitar iaitu kawasan pantai yang popular bagi pelancong semasa cuti musim panas.

Presiden Chile Gabriel Boric memberi amaran bahawa jumlah kematian dijangka meningkat susulan kebakaran masih melanda beberapa kawasan di Valparaiso.

Boric turut mengisytiharkan dua hari berkabung bagi mengenang mangsa terkorban.

Presiden berkata angin kencang menyukarkan pasukan bomba untuk mengawal kebakaran hutan yang telah merebak hingga 8,000 hektar hutan dan kawasan bandar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.