Kebakaran hutan Chile: Korban meningkat kepada 51

Kebakaran hutan Chile: Korban meningkat kepada 51

Kebakaran hutan sehingga kini telah menjejaskan kira-kira 43,000 hektar kawasan, menurut kerajaan Chile.

Seorang penduduk menyelamatkan diri daripada kebakaran hutan di Vina del Mar, Chile. (Gambar AP)
ANKARA:
Jumlah korban akibat kebakaran hutan yang melanda bahagian tengah dan selatan Chile kini meningkat kepada 51 orang, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik media pada Ahad.

“Jumlah mangsa dijangka bertambah dalam beberapa jam akan datang,” kata Presiden Chile Gabriel Boric dalam kenyataan.

Boric berkata, Kementerian Pertahanan akan mengerahkan lebih banyak unit tentera ke kawasan terjejas dan menggunakan semua sumber yang ada.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Carolina Toha berkata, kira-kira 92 kebakaran berlaku di pelbagai lokasi dan sehingga kini menjejaskan kira-kira 43,000 hektar kawasan.

“Anggota bomba berjaya mengawal 40 kebakaran dan masih bertungkus lumus memadamkan 29 lagi kebakaran,” katanya.

Menurut pihak berkuasa, di Valparaiso sahaja, kira-kira 1,100 kediaman dilaporkan musnah.

Berikutan itu, Boric mengisytiharkan darurat dan mengarahkan semua anggota penyelamat dihantar ke kawasan yang terjejas bagi membantu usaha memadam kebakaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.