
Kementerian Luar mengarahkan kedutaannya di Seoul bekerjasama dengan Kementerian Luar Korea Selatan dan pihak berkaitan untuk menjalankan siasatan menyeluruh mengenai perkara itu.
“Kedutaan telah berhubung terus dengan jurutera Indonesia dan mengesahkan individu itu tidak ditahan pada masa ini,” menurut jurucakap kementerian Lalu Muhamad Iqbal.
Beliau berkata, jurutera itu yang memainkan peranan penting dalam projek bersama sejak 2016, memiliki pemahaman mendalam tentang prosedur kerja dan peraturan berkaitan.
“Projek KF-21 membabitkan kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada Indonesia dan Korea Selatan.
“Kedua-dua negara komited menangani sebarang isu yang mungkin timbul hasil kerjasama ini.”
Jumaat lalu, Agensi Berita Yonhap melaporkan Korea Selatan sedang menyiasat seorang jurutera Indonesia atas dakwaan mencuri teknologi KF-21 sedang dibangunkan.
Jurutera yang ditempatkan di KAI itu disyaki menyimpan data pembangunan KF-21 dalam pemacu USB dan kini dilarang meninggalkan Korea Selatan.
Pelbagai agensi, termasuk Perkhidmatan Perisikan Negara, sedang menjalankan siasatan bersama untuk menentukan sama ada data itu mengandungi teknologi strategik.
Indonesia selaku rakan kongsi projek itu belum memenuhi kewajiban pembayaran kos 20% projek yang mula dilaksanakan pada 2015, dengan bayaran hampir satu trilion won berbanding kos keseluruhan projek berjumlah 8.8 trilion won.