12 pelajar, 2 guru lemas bot terbalik di India

12 pelajar, 2 guru lemas bot terbalik di India

Perdana menteri India mengumumkan pampasan 200,000 rupee kepada setiap waris mangsa korban dan 50,000 rupee kepada mangsa cedera.

Seramai 18 pelajar dan dua guru berjaya diselamatkan. (Gambar AP)
NEW DELHI:
Sekurang-kurangnya 12 pelajar dan dua guru lemas selepas bot dinaiki mereka terbalik di Tasik Harni, Gujerat, barat India pada Khamis.

Seramai 18 pelajar dan dua guru lagi berjaya diselamatkan, lapor Agensi Berita PTI.

Menurut laporan media tempatan, jumlah penumpang adalah dua kali ganda melebihi kapasiti ditetapkan dan mereka tiada jaket keselamatan mencukupi.

Perdana Menteri, Narendra Modi mengumumkan pembayaran ex gratia (pampasan) 200,000 rupee (kira-kira RM11,340) kepada setiap waris mangsa korban dan 50,000 rupee kepada mangsa cedera daripada Dana Bantuan Kebangsaan Perdana Menteri.

“Saya turut berduka bersama mereka yang kehilangan orang tersayang. Semoga mereka yang cedera segera pulih. Pentadbiran tempatan menyediakan semua bantuan diperlukan kepada mereka yang terjejas,” kata Modi.

Ketua Menteri Gujarat, Bhupendra Patel mengumumkan pampasan 400,000 rupee kepada setiap waris mangsa korban.

Kerajaan negeri mengarahkan siasatan ke atas tragedi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.