Singapura cadang penjara tanpa had masa untuk ‘pesalah berisiko tinggi’

Singapura cadang penjara tanpa had masa untuk ‘pesalah berisiko tinggi’

‘Hukuman untuk peningkatan perlindungan awam’ bagi memastikan pesalah yang berpotensi mengulangi kesalahan kekal dalam penjara.

Rang undang-undang yang difailkan di parlimen Singapura hari ini, terpakai untuk individu disabitkan kesalahan seks atau ganas. (Gambar Facebook)
SINGAPURA:
Singapura mahu memenjara pesalah bagi kesalahan seks dan ganas yang “berisiko tinggi” untuk tempoh tanpa had ditetapkan mengikut perundangan yang dicadangkan hari ini.

‘Hukuman untuk peningkatan perlindungan awam’ diperuntukkan dalam rang undang-undang difailkan di parlimen, menyasarkan untuk memastikan pesalah yang menunjukkan tanda-tanda berpotensi mengulangi kesalahan mereka, terus kekal di dalam penjara, sekalipun tempoh hukuman telah berakhir.

“Kerajaan meneliti cara lebih baik untuk melindungi orang awam daripada pesalah bahaya seperti itu, yang menimbulkan risiko kecederaan fizikal dan/atau seksual terhadap orang lain, khususnya anggota masyarakat yang lemah,” kata kementerian undang-undang, dan kementerian dalam negeri dalam kenyataan bersama.

“Kami mahu memastikan pesalah berbahaya dan berisiko tinggi seperti itu tidak dilepaskan semula dalam masyarakat sehingga tidak lagi mengancam keselamatan awam.”

Perundangan itu terpakai untuk individu yang disabitkan atas kesalahan seksual atau ganas serius, seperti rogol dan menyebabkan kematian tanpa niat bunuh.

Ia mencadangkan tempoh penjara minimum lima hingga 20 tahun, yang akan ditentukan oleh mahkamah.

Pesalah berisiko tinggi hanya akan dibebaskan jika kementerian dalam negeri menilai bahawa mereka tidak lagi menjadi ancaman terhadap masyarakat.

“Pilihan hukuman sedia ada tidak cukup untuk menangani kesalahan seteruk itu,” menurut kementerian berkenaan.

“Bagi kesalahan yang tidak melibatkan penjara seumur hidup, pilihan hukuman buat masa ini rata-rata memerlukan pesalah dibebaskan secara automatik selepas tempoh tertentu, tanpa mengira ancaman yang boleh berlaku terhadap orang lain.”

Tarikh perbahasan belum ditetapkan buat masa ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.