Bom bunuh 5 polis daripada pasukan perlindungan polio

Bom bunuh 5 polis daripada pasukan perlindungan polio

Penyerang menyasarkan sebuah trak polis yang membawa kira-kira 25 anggota polis.

Disember lalu, seorang pengebom berani mati meletupkan kenderaannya sarat dengan bahan letupan di pintu utama sebuah balai polis di barat laut Pakistan. (Gambar AP)
PESHAWAR:
Sebutir bom yang menyasarkan pasukan perlindungan polio di barat laut Pakistan meragut nyawa sekurang-kurangnya lima anggota polis, kata pegawai.

“Sebuah trak polis membawa kira-kira 25 anggota bagi tugas kempen anti-polio disasarkan sebutir IED (bahan letupan buatan sendiri),” Anwar ul Haq, pegawai kanan kerajaan di daerah Bajaur beritahu AFP.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya lima anggota polis terbunuh dan 20 lagi cedera.

Kashif Zulfiqar, pegawai kanan polis di daerah itu mengesahkan jumlah kematian.

Serangan itu berlaku di Mamund, daerah Bajaur bersempadanan dengan Afghanistan, kawasan di mana militan meningkat sejak Taliban menguasai Kabul pada 2021.

Tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu, tetapi militan membunuh ramai pekerja vaksin polio dan pengiring keselamatan mereka dahulu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.