
Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan terhadap peningkatan tahap kerosakan di wilayah berkenaan, lapor Xinhua.
Setakat 9 pagi Jumaat waktu tempatan, 242 penduduk dilaporkan hilang di Ishikawa, lapor Agensi Berita Kyodo.
Bandar pesisir pantai Wajima yang paling teruk terjejas melaporkan lebih 40 kes mangsa tertimbus dan terperangkap di bawah runtuhan.
Pasukan Pertahanan Jepun memperhebatkan usaha menyelamat dengan penyertaan 4,600 anggota yang bekerjasama dengan polis dan Jabatan Bomba.
Kawasan seluas kira-kira 48,000m persegi, bersamaan saiz 4.5 padang bola, musnah selepas kebakaran besar di tengah Wajima semasa gempa bumi, lapor Kyodo memetik anggaran terkini Pihak Berkuasa Maklumat Geospatial Jepun.
Penghantaran bekalan penting berdepan kesukaran kerana penutupan jalan di lebih 10 lokasi akibat tanah runtuh, manakala lebih 700 orang terkandas di komuniti terpencil di wilayah berkenaan.
Infrastruktur di wilayah Ishikawa juga mengalami kerosakan teruk dengan kira-kira 30,000 isi rumah berdepan gangguan bekalan elektrik, manakala 80,000 isi rumah di 13 bandar dan pekan menghadapi gangguan bekalan air.
Kira-kira 33,000 orang masih berlindung di 370 pusat pemindahan di Ishikawa dengan isu berkaitan sanitasi, termasuk akses ke tandas menjadi kebimbangan utama penduduk terjejas.