95 maut dalam letupan dekat kubur jeneral Iran

95 maut dalam letupan dekat kubur jeneral Iran

Letupan berlaku ketika orang ramai berkumpul di tanah perkuburan Qassem Soleimani di bandar Kerman untuk memperingati ulang tahun keempat kematiannya dalam serangan dron AS.

Seorang lelaki ditenangkan seorang individu bersebelahan mayat orang tersayang yang terbunuh dalam letupan di bandar Kerman, tenggara Iran. (Gambar AP)
TEHRAN:
Sekurang-kurangnya 95 maut, manakala lebih 210 lagi cedera dalam dua letupan yang berlaku dekat tanah perkuburan jeneral Iran, Qassem Soleimani pada Rabu, lapor media tempatan.

Letupan itu berlaku ketika orang ramai berkumpul di tanah perkuburan di bandar Kerman, tenggara Iran untuk memperingati ulang tahun keempat kematian Soleimani dalam serangan dron Amerika Syarikat (AS).

Letupan pertama berlaku kira-kira 700m dari kubur Soleimani, manakala letupan kedua dalam jarak 1km dari kubur jeneral itu, Xinhua memetik Agensi Berita Iran (Irna).

Timbalan Gabenor Wilayah Kerman bagi Hal Ehwal Politik dan Keselamatan, Rahman Jalali mendakwa letupan itu dilakukan kumpulan pengganas.

Saluran berita Islamic Republic of Iran News Network melaporkan punca letupan masih disiasat dan pasukan penyelamat berada di tempat kejadian.

Kebanyakan mangsa cedera akibat keadaan berasak-asak dan panik.

Kerajaan Iran mengisytiharkan Khamis sebagai hari berkabung negara.

Susulan insiden terbaharu itu, Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei berkata, penyerang akan berdepan tindak balas keras Tehran.

Presiden Iran, Ebrahim Raisi berkata: “Tidak diragui pelaku dan pemimpin tindakan pengecut ini akan segera dikenal pasti dan dihukum.”

Pegawai AS menafikan sebarang andaian ia atau sekutunya, Israel terlibat dalam letupan itu.

“AS tidak terlibat dalam apa cara pun. Dan andaian sebaliknya tidak masuk akal. Kedua, kami tiada sebab untuk mempercayai Israel terlibat dalam perkara ini,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller kepada wartawan pada Rabu.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa negara termasuk Rusia, Turki dan Jerman mengutuk letupan itu.

Menurut kenyataan pejabat ketua PBB, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengutuk keras serangan itu dan menegaskan pihak bertanggungjawab mesti diheret ke muka pengadilan.

Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell menerusi panggilan telefon dengan Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian, mengutuk sekeras-kerasnya serangan maut itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa serta kerajaan dan rakyat Iran, selain mendoakan mangsa cedera pulih dengan cepat.

Menurut kenyataan Kremlin, Presiden Rusia, Vladimir Putin menghantar mesej kepada Khamenei dan Raisi yang mengutuk sekeras-kerasnya keganasan dalam semua bentuk dan mengesahkan komitmen untuk memeranginya.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dalam panggilan telefon dengan Raisi mengutuk letupan berkembar menyasarkan orang awam itu dan mengulangi gesaannya untuk Iran bertindak bersama dalam usaha memerangi keganasan.

Pejabat Erdogan berkata, Raisi dalam panggilan telefon itu turut memaklumkan akan menangguhkan lawatannya ke Turki pada Khamis, ke tarikh kemudian.

Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Kakitangan Presiden Iran untuk Hal Ehwal Politik, Mohammad Jamshidi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.