Lebih 300 penerbangan dibatal selepas 2 pesawat berlanggar di Tokyo

Lebih 300 penerbangan dibatal selepas 2 pesawat berlanggar di Tokyo

Sebanyak 226 penerbangan yang tiba dan berlepas dari Haneda dibatalkan semalam dan kira-kira 100 penerbangan dijangka dibatalkan hari ini.

Keadaan pesawat Pengawal Pantai Jepun yang hangus terbakar selepas pelanggaran di Lapangan Terbang Haneda semalam. (Gambar Kyodo News/AP)
TOKYO:
Syarikat penerbangan terpaksa membatalkan lebih 300 penerbangan susulan pelanggaran pesawat Pengawal Pantai Jepun dan pesawat penumpang Japan Airlines di Lapangan Terbang Haneda Tokyo semalam.

Nahas itu memaksa semua landasan lapangan terbang ditutup beberapa jam pada petang Selasa, menyebabkan pembatalan 226 penerbangan yang tiba dan berlepas dari Haneda, menjejaskan lebih 40,000 penumpang, lapor Xinhua.

Walaupun tiga landasan dibuka semula hari ini, kira-kira 100 penerbangan dijangka dibatalkan yang mengganggu jadual perjalanan 19,000 penumpang.

Kira-kira 6 petang Selasa waktu tempatan, penerbangan Japan Airlines JAL 516 dari Lapangan Terbang New Chitose di wilayah Hokkaido ke Lapangan Terbang Haneda Tokyo bertembung pesawat Pengawal Pantai MA-722 selepas mendarat di Lapangan Terbang Haneda, mengakibatkan kedua-duanya terbakar.

Lima daripada enam anak kapal Pengawal Pantai itu meninggal dunia, manakala kapten yang berjaya menyelamatkan diri cedera parah.

Jurucakap Pengawal Pantai, Yoshinori Yanagishima berkata pesawat pasukan itu yang berpangkalan di Lapangan Terbang Haneda sedang bergerak di landasan untuk membawa bantuan ke kawasan terjejas gempa bumi di wilayah Niigata.

Sementara itu, semua 379 penumpang dan anak kapal Japan Airlines selamat tanpa kecederaan mengancam nyawa.

Jabatan Bomba Tokyo mengambil masa lebih lapan jam untuk memadamkan kebakaran nahas itu.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Jepun, agensi kerajaan bertanggungjawab menyiasat nahas melibatkan kapal terbang, kereta api dan kapal pada Rabu mula menyiasat punca kemalangan dan memeriksa serpihan pesawat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.