Angka korban serangan Israel meningkat lebih 21,000

Angka korban serangan Israel meningkat lebih 21,000

Kementerian Kesihatan Gaza berkata seramai 56,451 lagi cedera dalam serangan tentera Zionis yang bermula Oktober lalu.

Serangan tentera Israel terhadap Gaza menyebabkan 290,000 kediaman, 285 institusi pendidikan, 208 masjid dan tiga gereja rosak teruk atau musnah. (Gambar AP)
ISTANBUL:
Operasi ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt tahun lalu telah membunuh 21,822 rakyat Palestin dan mencederakan 56,451 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza.

Kementerian Kesihatan berkata angka itu termasuk 150 rakyat Palestin yang terbunuh manakala 286 lagi cedera dalam tempoh 24 jam lepas.

Menurut kementerian itu, kira-kira 70% daripada mangsa adalah wanita dan kanak-kanak, lapor Agensi Anadolu.

Orang awam telah menanggung beban terbesar serangan dengan rumah, kemudahan awam, sekolah dan hospital menjadi sasaran secara berterusan.

Ini termasuk, 65,000 kediaman, 117 masjid dan 92 sekolah dan universiti yang musnah.

Selain itu 290,000 kediaman, 285 institusi pendidikan, 208 masjid dan tiga gereja telah mengalami kerosakan teruk.

Serangan yang disasarkan juga telah meninggalkan kesan terhadap infrastruktur penting dengan 25 hospital dan 53 pusat kesihatan tidak lagi berfungsi.

Antara yang terbunuh ialah 312 profesional penjagaan kesihatan dan 40 anggota pertahanan awam, selain 106 wartawan yang kehilangan nyawa mereka semasa bertugas.

Sebanyak 7,000 lagi mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan.

Kebimbangan antarabangsa yang meningkat mendorong gesaan untuk menghentikan segera konflik dan meningkatkan usaha bantuan kemanusiaan untuk menangani krisis yang semakin meruncing di wilayah itu.

Serangan Israel telah memusnahkan Gaza, dengan hampir 2 juta orang penduduk kehilangan tempat tinggal di wilayah yang padat penduduk itu di tengah-tengah kekurangan makanan dan air bersih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.