
Hanya sembilan daripada 36 kemudahan kesihatan separa berfungsi di keseluruhan Gaza, menurut WHO. Semua kemudahan ini tertumpu di selatan enklaf itu.
“Sebenarnya tiada langsung hospital berfungsi di utara,” kata wakil WHO di Gaza, Richard Peeperkorn kepada pemberita melalui pautan video dari Baitulmaqdis.
“Hospital Al-Ahli yang terakhir, namun kini berfungsi secara minimum iaitu masih merawat pesakit tetapi tidak menerima yang baharu.”
Katanya, Al-Ahli tidak ubah seperti hospis yang hanya menyediakan penjagaan terhad.
Kira-kira 10 kakitangan, semuanya doktor junior dan jururawat, terus menyediakan rawatan kecemasan asas, pengendalian sakit, dan penjagaan luka dengan sumber yang terlalu terhad, katanya.
“Sehingga dua hari lalu, itulah satu-satunya hospital di mana orang ramai boleh dibedah di utara Gaza, dan dibelenggu pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan,” katanya.
“Kini tiada lagi bilik pembedahan akibat ketiadaan bahan bakar, kuasa, bekalan perubatan, dan pekerja kesihatan, termasuk pakar bedah serta pakar lain.”
Beliau berkata, mayat mangsa akibat serangan terbaru Israel disusun di pekarangan hospital kerana tidak boleh dikebumikan dengan selamat.
Selain Hospital Al-Ahli, utara Gaza hanya mempunyai tiga kemudahan kesihatan lain yang berfungsi dengan mininum iaitu Al-Shifa, Al-Awda, dan Al-Shahaba, semuanya kini menjadi tempat perlindungan ribuan orang yang kehilangan tempat tinggal.
Ada pesakit di Al-Ahli sebelum ini yang menanti sejak berminggu-minggu lalu untuk dibedah, manakala mereka yang telah melalui pembedahan kini menghadapi risiko jangkitan pascapembedahan akibat ketiadaan antibiotik dan ubatan lain,” katanya.
“Semua pesakit ini tidak boleh dialihkan, dan perlu dipindahkan segera untuk selamat,” katanya.
“Gencatan senjata kemanusiaan kini perlu bagi mengukuhkan dan menambah bekalan kemudahan kesihatan yang tinggal, menghantar perkhidmatan perubatan diperlukan ribuan orang cedera serta memerlukan penjagaan penting lain, dan paling utama untuk menghentikan pertumpahan darah serta kematian.”