
Serangan bom paling teruk di utara Semenanjung Gaza, di mana letupan dan asap hitam dapat dilihat dari Israel, manakala bunyi pesawat dan dentuman serangan udara serta tembakan senjata api turut didengar.
Di selatan, di mana ratusan ribu orang mendapatkan perlindungan, Hamas berkata serangan udara Israel membunuh komander pusat pemeriksaan utama yang dibuka hanya beberapa hari lalu untuk membolehkan bantuan dibawa masuk.
Penduduk di Jabalia di utara Semenanjung Gaza berhampiran sempadan Israel berkata, kawasan itu kini terus terkepung malah penembak tepat Israel menyasarkan sesiapa yang cuba meloloskan diri.
“Ini antara malam terburuk dari segi serangan bom penjajah. Kami juga dapat mendengar pertempuran sengit,” kata seorang penduduk Jabalia yang enggan dikenali.
Beliau bercakap dengan Reuters menerusi telefon menggunakan kad SIM elektronik bagi mengakses rangkaian telefon bimbit Israel disebabkan komunikasi di Gaza terputus untuk hari kedua.
Dalam hantaran media sosial, Bulan Sabit Merah Palestin berkata ambulans kini tidak dapat sampai ke mangsa cedera yang ramai di Jabalia.
“Kami menerima beberapa rayuan melibatkan serangan berterusan di Jalan Al-Banna, Nazzala di Jabalia, utara Gaza, dengan puluhan individu maut dan cedera yang terperangkap di sana. Malangnya, pasukan keselamatan dan kecemasan tidak dapat sampai ke sana,” menurut hantaran itu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia hari ini berkata hospital terakhir di utara Semenanjung Gaza tidak berfungsi sejak dua hari lalu menyebabkan kini tiada tempat untuk membawa mangsa cedera.
Pertempuran semakin teruk dalam pada usaha diplomatik dipertingkat menjelang hari-hari akhir tahun ini dalam usaha menghalang bencana kemanusiaan.
Pihak-pihak bertelagah membincangkan gencatan senjata baharu bagi membebaskan antara 100 tebusan yang masih ditahan pihak Hamas. Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu juga berusaha mewujudkan pelan baharu bagi meningkatkan penghantaran bantuan.