111 maut gempa bumi di China

111 maut gempa bumi di China

Sebuah pasukan sudah dihantar ke kawasan terjejas untuk menilai kesan bencana.

China sering dilanda gempa bumi. (Gambar Xinhua/AP)
BEIJING:
Sekurang-kurangnya 111 maut, manakala lebih 230 lagi cedera selepas gempa bumi melanda wilayah sempadan Gansu-Qinghai di China tengah malam tadi, menurut laporan media kerajaan.

Menurut Pusat Seismologi Mediterranean Eropah (EMSC), gempa itu berukuran 6.1 magnitud, tetapi media kerajaan China melaporkan gempa itu pada 6.2 magnitud.

Gempa dengan kedalaman 35km itu berlaku pada jarak 102km barat-barat daya Lanzhou, kata EMSC. Laporan rasmi tidak menyatakan jika ada orang hilang selepas gempa.

Agensi berita rasmi Xinhua melaporkan pusat gempa terletak 5km dari sempadan dua wilayah barat laut dan gegaran kuat dirasai di banyak bahagian wilayah Qinghai.

Menurut laporan Xinhua, Suruhanjaya Pencegahan, Pengurangan dan Bantuan Bencana China serta Kementerian Pengurusan Kecemasan mengaktifkan kecemasan bantuan bencana peringkat IV.

Disebabkan kawasan bencana terletak di kawasan beraltitud tinggi dan bercuaca sejuk, pasukan menyelamat berusaha mengelakkan bencana sekunder akibat faktor di luar gempa.

Suhu di Linxia, Gansu, dekat lokasi gempa kira-kira -14°C pada pagi ini. Kebanyakan kawasan di China sedang berdepan gelombang sejuk yang bermula minggu lalu.

Gempa itu menjejaskan bekalan air dan elektrik, selain sistem pengangkutan, komunikasi dan infrastruktur lain mengalami kerosakan, tetapi pegawai tidak memberikan butiran lanjut.

Bantuan dan operasi menyelamat sedang dijalankan, dengan kumpulan kerja dihantar untuk menilai kesan bencana serta memberi panduan kepada operasi bantuan tempatan.

Stesen televisyen kerajaan CCTV melaporkan sembilan gempa susulan bermagnitud 3.0 dan ke atas direkodkan sebelum subuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.