
Serangan Zionis Israel terhadap rakyat Palestin pada Sabtu, telah memasuki hari ke-71.
Kementerian Kesihatan Palestin dalam kenyataan, memaklumkan jumlah korban direkodkan di Semenanjung Gaza mencecah 18,800, manakala angka kematian di Tebing Barat turut meningkat kepada 288, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Selain itu, sekitar 51,000 rakyat Palestin cedera di Gaza, manakala hampir 3,450 di Tebing Barat, menurut kementerian itu.
Antara mereka yang terkorban di Gaza, termasuk lebih 300 petugas kesihatan, 86 wartawan, 35 anggota pertahanan awam, dan 135 kakitangan UNRWA.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan mengulangi amaran tentang bahaya kehabisan bekalan vaksin di Gaza yang boleh membawa kesan buruk terhadap kesihatan terutama dalam kalangan mereka yang berada di tempat perlindungan.
Kementerian itu merekodkan 360,000 kes penyakit berjangkit di pusat perlindungan, tetapi jumlah sebenar kes mungkin lebih tinggi.
Setakat ini hanya 11 daripada 36 hospital di Gaza beroperasi dengan kemampuan terhad dan di wilayah utara pula sebuah sahaja hospital masih beroperasi, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.