PBB lulus resolusi gencatan senjata di Gaza

PBB lulus resolusi gencatan senjata di Gaza

Lebih tiga perempat daripada 193 anggota Perhimpunan Agung PBB menyokong resolusi itu yang mahu perang Israel-Hamas ditamatkan.

Perang Israel-Hamas menyebabkan lebih 2.3 juta penduduk di Gaza meninggalkan kediaman mereka. (Gambar AP)
NEW YORK:
Perhimpunan Agung Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menuntut gencatan senjata serta merta dalam perang Israel-Hamas selepas lebih satu tiga perempat daripada 193 anggota menyokong resolusi itu, yang sebelum ini diveto Amerika Syarikat (AS) di Majlis Keselamatan pada minggu lalu.

AS tiada kuasa veto di Perhimpunan Agung. AS mengundi menolak resolusi itu, bersama Israel dan lapan lagi negara. Sebanyak 153 negara menyokong manakala 23 lagi tidak mengundi.

Sebelum undian, Presiden AS Joe Biden dalam satu majlis berkata, Israel hilang sokongan antarabangsa kerana serangan bom melampau yang dilakukannya.

Israel melancarkan serangan udara terhadap Gaza, menguatkuasakan sekatan dan melancarkan serangan darat sebagai membalas serangan Hamas pada 7 Okt lalu yang didakwa Israel membunuh 1,200 orang dan 240 lagi dijadikan tebusan. Kementerian Kesihatan Gaza berkata, seramai 18,205 rakyat Palestin terbunuh dan hampir 50,000 lagi cedera.

Resolusi Perhimpunan Agung itu tiada kuasa undang-undang tetapi mempunyai kesan politik, mencerminkan pandangan antarabangsa pada perang itu. Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres sudah lama mendesak gencatan senjata kemanusiaan dan pada minggu lalu beliau memberi amaran kepada Majlis Keselamatan mengenai ancaman perang itu pada dunia.

Duta AS ke PBB Linda Thomas-Greenfield memberitahu Perhimpunan Agung sebelum pengundian, terdapat beberapa aspek dalam resolusi itu yang disokong AS, seperti segera menangani situasi kemanusiaan yang meruncing di Gaza, melindungi orang awam dan membebaskan tebusan.

Tetapi tambahnya: “Sebarang gencatan senjata ketika ini adalah terbaik untuk sementara waktu tetapi paling bahaya, ia membahayakan penduduk Israel, yang menjadi serangan dan juga membahayakan penduduk Palestin, yang layak mempunyai peluang membina masa depan lebih baik untuk mereka, bebas dari Hamas.”

Perhimpunan Agung juga menggesa pembebasan serta merta dan tanpa syarat semua tebusan, dan semua pihak terlibat patuh kepada undang-undang antarabangsa, terutama sekali dalam melindungi orang awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.