Lebih 17,000 maut di Gaza, Tebing Barat

Lebih 17,000 maut di Gaza, Tebing Barat

Tentera Israel semakin kerap menjadikan hospital, ambulans, dan pasukan perubatan sebagai sasaran serangan di Tebing Barat.

Rakyat Palestin juga berdepan serangan peneroka haram Yahudi selain tentera Israel. (Gambar AFP)
RAMALLAH:
Angka kematian penduduk Palestin susulan serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat meningkat 17,674 dengan lebih 49,300 mangsa cedera, lapor Agensi Berita Palestin (Wafa).

Menurut kemas kini terkini Kementerian Kesihatan, sebanyak 17,400 kematian dilaporkan di Semenanjung Gaza manakala 274 kematian lagi di Tebing Barat dengan 46,000 rakyat Palestin cedera di Gaza dan hampir 3,300 lagi di Tebing Barat.

Jumaat sahaja menyaksikan sekurang-kurangnya 300 orang awam terbunuh dalam pengeboman tanpa henti Israel di Gaza.

Menurut kenyataan kementerian kesihatan sektor kesihatan di Gaza mengalami krisis dengan 55 ambulans tidak berfungsi manakala pusat penjagaan kesihatan ditutup akibat pengeboman berterusan dan kekurangan bahan api.

Penyakit berjangkit, termasuk cirit-birit, jangkitan pernafasan, dan Hepatitis A semakin meningkat di pusat perlindungan Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) yang memberi kesan kepada kumpulan rentan seperti orang kurang upaya, mereka yang cedera, dan wanita hamil.

Sementara itu, di Tebing Barat tentera penceroboh Israel semakin kerap menjadikan hospital, pusat kesihatan, ambulans, dan pasukan perubatan sebagai sasaran serangan.

Kenyataan itu memaklumkan serangan peneroka haram Yahudi juga berterusan dengan 308 kes direkodkan sejak konflik bermula, pada 7 Okt.

Insiden itu mengakibatkan kecederaan, kerosakan harta benda selain sebanyak 143 keluarga Palestin hilang tempat tinggal, termasuk 1,014 individu dan 388 kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.