Doktor Itali mogok, bantah cadangan potong pencen

Doktor Itali mogok, bantah cadangan potong pencen

Hampir 85% petugas Perkhidmatan Kesihatan Nasional menuntut penambahbaikan sistem kesihatan awam.

Ribuan doktor dan jururawat penjagaan kesihatan Itali melancarkan mogok 24 jam menyebabkan 1.5 juta pemeriksaan kesihatan dan pembedahan tertangguh. (Gambar fail)
ROM:
Beribu-ribu doktor, jururawat, dan pekerja penjagaan kesihatan melancarkan mogok 24 jam di seluruh Itali, menuntut persekitaran kerja lebih baik dan penambahbaikan kepada sistem kesihatan awam.

Mereka juga membantah cadangan pemotongan pencen dalam rang undang-undang Belanjawan 2024, yang diluluskan oleh kerajaan pada Oktober dan kini menunggu kelulusan Parlimen.

Kira-kira 85% petugas Perkhidmatan Kesihatan Nasional (SSN) dan kemudahan perubatan swasta tidak bekerja pada Selasa, menurut kesatuan sekerja sektor itu.

Ini menyebabkan kira-kira 1.5 juta pemeriksaan kesihatan dan pembedahan yang dirancang pada hari berkenaan terpaksa ditangguhkan walaupun perkhidmatan penjagaan kesihatan utama tetap disediakan, lapor Xinhua memetik laporan media tempatan.

Satu perhimpunan besar berlangsung di Rom untuk menyokong mogok itu.

Selain tuntutan ekonomi khusus, profesional penjagaan kesihatan Itali juga menggesa kerajaan membuat pelaburan yang lebih besar dalam SSN untuk bersiap menghadapi cabaran semasa dan masa depan.

Lewat Isnin, Menteri Hal Ehwal Parlimen Itali Luca Ciriani, berkata Jemaah Menteri merancang meminda peruntukan rang undang-undang belanjawan mengenai pencen perubatan.

Selepas mengadakan pertemuan dengan kesatuan penjagaan kesihatan pada akhir November, Menteri Kesihatan Orazio Schillaci juga memberitahu media tempatan bahawa beliau terbuka untuk berdialog dan bersedia untuk berkompromi dengan tuntutan pekerja penjagaan kesihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.