Lipat ganda usaha henti jenayah perang Israel, Iran beritahu negara Islam

Lipat ganda usaha henti jenayah perang Israel, Iran beritahu negara Islam

Menteri luar Iran menegaskan serangan Zionis selepas jeda kemanusiaan berakhir akan memburukkan lagi situasi.

Menteri Luar Iran Hossein Amir-Abdollahian, berkata Israel tidak kisah terhadap permintaan masyarakat dunia agar serangan ke atas Gaza dihentikan. (Gambar AP)
TEHRAN:
Menteri Luar Iran Hossein Amir-Abdollahian berkata tindakan rejim Zionis Israel melancarkan semula serangan terhadap rakyat Gaza menunjukkan sikap tidak kisah rejim ini terhadap permintaan masyarakat dunia.

Amir-Abdollahian menekankan bahawa semua negara Islam mesti melipatgandakan usaha menghentikan jenayah perang itu.

Beliau berkata demikian dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Oman Sayyid Badr al-Busaidi, pada Jumaat.

“Semasa lawatan saya ke Beirut minggu lalu, saya dimaklumkan bahawa jika serangan rejim Israel berulang keadaan mungkin akan menjadi lebih buruk berbanding sebelum ini,” kata Amir-Abdollahian, lapor Agensi Berita Iran.

Sejumlah warga awam Palestin, terutamanya kanak-kanak dan wanita terbunuh atau cedera pada Jumaat apabila tentera penceroboh Israel meneruskan serangan selepas tempoh jeda kemanusiaan di Semenanjung Gaza berakhir.

Jeda kemanusiaan sementara hasil daripada perantaraan Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat itu berlangsung selama tujuh hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.