Qatar teruskan rundingan sambung jeda kemanusiaan di Gaza

Qatar teruskan rundingan sambung jeda kemanusiaan di Gaza

Kementerian Luar Qatar menegaskan pengeboman berterusan di Semenanjung Gaza selepas jeda tamat merumitkan usaha pengantaraan dan memburukkan lagi malapetaka kemanusiaan di wilayah itu.

Seorang kanak-kanak Palestin yang cedera dalam pengeboman rejim Zionis di Semenanjung Gaza dibawa ke Hospital Al-Aqsa untuk rawatan pada Jumaat. (Gambar AP)
KAHERAH:
Qatar masih meneruskan rundingan dengan Israel dan Palestin untuk menyambung semula jeda kemanusiaan di Gaza.

Kementerian Luar Qatar dalam kenyataan pada Jumaat berkata, ia kesal dengan tentera penceroboh Israel yang meneruskan serangan di Semenanjung Gaza selepas berakhirnya jeda kemanusiaan, tanpa mencapai persetujuan untuk melanjutkannya.

Kementerian itu mengesahkan “rundingan antara kedua-dua pihak diteruskan untuk mengembalikan jeda kemanusiaan”.

Qatar mengesahkan komitmennya bersama rakan pengantara untuk meneruskan usaha menyambung jeda kemanusiaan dan akan melakukan semua yang diperlukan untuk mengembalikan keamanan.

Kementerian itu menegaskan pengeboman berterusan di Semenanjung Gaza dalam beberapa jam pertama selepas jeda tamat merumitkan usaha pengantaraan dan memburukkan lagi malapetaka kemanusiaan di wilayah itu.

Ia menyeru masyarakat antarabangsa bertindak segera untuk menghentikan keganasan itu.

Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza mengumumkan sekurang-kurangnya 32 rakyat Palestin terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza yang dikepung dalam tempoh tiga jam selepas jeda kemanusiaan berakhir pagi Jumaat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.