Hamas terbuka lanjutkan gencatan, bebaskan lagi tahanan

Hamas terbuka lanjutkan gencatan, bebaskan lagi tahanan

Gencatan di Gaza bakal berakhir esok selepas enam hari.

Sekumpulan 12 tahanan dibebaskan Hamas semalam selepas lanjutan masa 48 jam kepada gencatan senjata empat hari yang dipersetujui sebelum ini. (Gambar AP)
GAZA:
Hamas bersedia melanjutkan gencatan selama empat hari lagi dan membebaskan lebih ramai tebusan rakyat Israel sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin, menurut sumber yang rapat dengan kumpulan itu.

Gencata senjata dijadualkan berakhir esok selepas pertempuran dihentikan enam hari.

Seramai 60 tebusan Israel dan 180 tahanan Palestin sudah dibebaskan, dengan beberapa lagi bakal dilepaskan hari ini menurut perjanjian kedua-dua pihak. Qatar yang bertindak sebagai orang tengah berkata usaha juga sedang dilakukan untuk gencatan senjata “mampan”.

Hamas hari ini “memaklumkan pengantara bahawa ia bersedia melanjutkan gencatan sehingga empat hari,” kata sumber yang rapat dengan kumpulan itu kepada AFP.

Dalam keadaan itu, Hamas boleh membebaskan tebusan Israel yang ada dengannya atau kumpulan penentang lain, “mengikut syarat gencatan yang sedang berlangsung kini,” tambah sumber berkenaan.

Jurucakap kementerian luar Qatar, Majed Al Ansari memberitahu sidang media di Doha semalam, pengantara berusaha mencapai gencatan mampan yang dapat membawa kepada rundingan lanjut seterusnya menamatkan perang.

Selepas lanjutan masa 48 jam terhadap gencatan senjata selama empat hari, sekumpulan 12 tebusan – 10 warga Israel dan dua Thai – dibebaskan dari Gaza semalam, manakala 30 orang Palestin dilepaskan Israel.

Wartawan AFP melihat pejuang Hamas serta Islamic Jihad yang bertopeng dan bersenjata menyerahkan tebusan berkenaan kepada pegawai Palang Merah di Rafah, berhampiran sempadan Mesir.

Tebusan yang dibebaskan semuanya wanita termasuk Mia Leimberg, 17, yang pulang ke Israel bersama ibu dan ibu saudaranya.

Nenek kepada Eitan Yahalomi, 12, yang dibebaskan pada Isnin berkata kanak-kanak lelaki itu ditahan bersendirian selama 16 hari.

Hamas membebaskan seorang warga Rusia-Israel, 20 rakyat Thailand dan seorang Filipina di luar skop perjanjian gencatan itu.

Kementerian luar Thailand berkata 17 daripada rakyatnya yang terlibat akan pulang ke negara itu esok, manakala 13 masih menjadi tahanan di Gaza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.